Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Jangan Angkat! Panggilan Senyap Rupanya Perangkap Scammer

jangan angkat! panggilan senyap rupanya perangkap scammer

Foto Hiasan

Advertisement

Pernah terima panggilan senyap, bila dijawab, tiada suara di hujung talian? Jangan ambil mudah. Menurut CyberSecurity Malaysia (CSM), panggilan seperti ini mungkin bukan kes tersilap dail, tetapi umpan penipu siber untuk mengenal pasti nombor anda sebagai “aktif” sebelum digunakan dalam pelbagai taktik scam.

Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, menjelaskan bahawa walaupun tiada suara, panggilan itu kadangkala dirakam untuk mengumpul metadata suara atau bunyi latar.

“Jika mangsa menjawab, nombor akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran dan dijual atau digunakan untuk penipuan lanjut,” jelas beliau.

Dengan kata lain, sekadar menjawab panggilan senyap pun sudah cukup untuk membuka pintu kepada scammer.

Ramai mangsa dilaporkan menerima SMS mencurigakan selepas menjawab panggilan senyap, kononnya daripada bank atau agensi kerajaan. Antara mesej yang sering diterima:

“Akaun anda akan digantung. Sila hubungi nombor berikut.”

“Anda ada bungkusan tertangguh. Klik pautan ini untuk sahkan.”

Sesetengahnya turut menerima mesej WhatsApp berunsur tawaran kerja atau pautan palsu.

Lebih berbahaya, selepas beberapa kali menerima panggilan senyap, mangsa mungkin mendapat panggilan sebenar daripada nombor tempatan, namun sebenarnya nombor tersebut telah dipalsukan (spoofing) oleh scammer. Mereka akan menyamar sebagai pegawai bank, polis, mahkamah, malah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dr Amirudin turut berkongsi beberapa petunjuk penting untuk membezakan panggilan senyap sebenar dengan panggilan tersilap:

  • Datang berulang kali daripada nombor berbeza.
  • Nombor luar negara atau terlalu panjang.
  • Tiada bunyi latar manusia, hanya senyap sepenuhnya.
  • Talian tidak terus putus, seolah-olah sedang “memerhati”.

jangan angkat! panggilan senyap rupanya perangkap scammer

Foto Hiasan

Sebaliknya, jika panggilan tidak disengajakan, biasanya ada bunyi latar seperti perbualan atau muzik dan pemanggil akan segera menamatkan talian setelah sedar tersalah dail.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak memberi sebarang maklumat peribadi, serta melaporkan nombor mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Untuk mengelak daripada menjadi mangsa seterusnya, pengguna disaran:

✅ Gunakan fungsi sekatan nombor tidak dikenali di telefon pintar.

✅ Pasang aplikasi pengesan panggilan seperti Truecaller atau Whoscall.

✅ Laporkan nombor spam kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau syarikat telekomunikasi.

✅ Elak kongsi nombor telefon peribadi di media sosial.

✅ Gunakan dua nombor berasingan, satu untuk urusan rasmi, satu untuk peribadi.

✅ Sentiasa pantau akaun bank dan digital bagi mengesan aktiviti mencurigakan.

Jadi, lain kali bila telefon berdering tanpa suara di hujung talian, jangan tunggu, jangan jawab lama-lama. Tutup. Laporkan. Lindungi diri anda.

Sumber: BERNAMA

SINAR Muzik Retro Terbaik