Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Apabila Al-Quran Dipijak, Berdiam Diri Bukanlah Satu Pilihan..” - Sultan Pahang

“apabila al-quran dipijak, berdiam diri bukanlah satu pilihan..” - sultan pahangFoto: Kesultanan Pahang

Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kemurkaan susulan tindakan menghina Al-Quran yang dianggap sebagai perbuatan melampau serta berpotensi merosakkan keharmonian masyarakat.

Advertisement

Baginda menegaskan, dakwaan membabitkan seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam di negeri ini yang dikatakan memijak naskhah Al-Quran, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah Ramadan, adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.

“Perbuatan ini bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan satu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.

“Apabila Al-Quran dipijak, maka yang tercemar bukan sekadar kertasnya, tetapi kesucian wahyu dan maruah umat. Dalam hal ini, saya menegaskan bahawa apabila Al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan,” titah Baginda.

Titah tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan merasmikan dan memasyhurkan Masjid Baharu Felda Jengka 19 yang kini dikenali sebagai Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Felda Jengka 19.

Baginda turut mengingatkan bahawa sikap membisu apabila agama dipersenda mencerminkan kelemahan peribadi dan lunturnya maruah. Walau bagaimanapun, Baginda menasihati agar sebarang tindakan mempertahankan agama dilakukan secara tertib serta berpandukan undang-undang, bukannya didorong kemarahan.

Merujuk kepada pandangan tokoh ulama terkenal, Buya Hamka, Baginda menjelaskan bahawa ungkapan “jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kapan” membawa maksud tanggungjawab moral untuk mempertahankan agama, dan bukannya seruan kepada kekerasan.

“Islam menuntut ketegasan, tetapi dalam lingkungan keadilan. Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan. Jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi,” titah Baginda lagi.

“apabila al-quran dipijak, berdiam diri bukanlah satu pilihan..” - sultan pahangFoto: Majlis Belia Malaysia

Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, Baginda menegaskan bahawa setiap perbuatan menghina Islam perlu ditangani secara tegas menurut peruntukan undang-undang tanpa kompromi.

“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat. Dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan,” titah Baginda.

Dalam masa sama, Baginda menyeru seluruh rakyat agar memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain, termasuk terhadap kitab suci dan kepercayaan setiap agama.

“Kita sebagai orang Islam atau penganut mana-mana agama sekalipun, harus menghormati semua kitab-kitab dalam semua agama dan tidak mempersendakan mana-mana agama. Tanggungjawab saya sebagai Sultan Pahang adalah untuk menyatukan semua rakyat beta, tidak kira bangsa, kaum atau agama.

“Kita semua hendak tinggal di bumi Pahang ini dalam suasana aman sentosa, harmoni dan semangat muhibah yang sentiasa terpelihara,” titah Baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.

“Negeri ini dibina atas semangat hidup bersama dalam kepelbagaian. Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri ini menjunjung prinsip keadilan dan rahmat.

“Kita seharusnya mempertahankan agama kita dengan tegas dan dalam masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan tenang,” titah Baginda.

Menurut Baginda, insiden ini sewajarnya dijadikan pengajaran agar masyarakat tidak terlalu mengejar pembangunan fizikal sehingga mengabaikan pembinaan sahsiah dan nilai rohani.

“Negeri boleh maju dengan teknologi, tetapi ia hanya akan bermaruah jika akhlaknya terpelihara.

“Justeru saya menyeru seluruh rakyat Pahang agar kembali kepada Al-Quran, membaca, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan kita,” titah Baginda.

Sumber: Kesultanan Pahang

SINAR Muzik Retro Terbaik