Berkuatkuasa 1 Februari depan, pelarasan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya memaklumkan pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Advertisement
Penyelarasan ini telah diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
“Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” katanya.
Malah, tindakan ini akan diteruskan dan ia tidak boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang untuk keselesaan rakyat.
“Justeru, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo Online