Foto: Astro AWANI
Bintang skuasy negara, S. Sivasangari, terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila naik dua anak tangga untuk menduduki ranking keenam dunia, kedudukan tertinggi dalam kariernya setakat ini, menurut senarai terkini Persatuan Skuasy Profesional (PSA) yang diumumkan hari ini.
Advertisement
Pemain berusia 26 tahun dari Kedah itu mencapai pencapaian tersebut hasil persembahan cemerlangnya selaku naib juara Kejohanan Terbuka Silicon Valley, kejohanan bertaraf PSA Gold yang berlangsung di Redwood City, California, minggu lalu.
Dalam perjalanan ke pentas akhir, Sivasangari menundukkan pemain Mesir Kenzy Ayman, wakil Amerika Syarikat Amanda Sobhy, serta Salma Hany dari Mesir, sebelum tewas kepada juara bertahan yang juga pemain tuan rumah, Olivia Weaver.
Kejayaan itu membolehkan Sivasangari memintas pemain Jepun Satomi Watanabe dan wakil Belgium Tinne Gilis, sekali gus menempatkan dirinya dalam kelompok enam terbaik dunia buat pertama kali dalam karier profesionalnya.
Sementara itu, seorang lagi pemain wanita negara, Rachel Arnold, turut menunjukkan peningkatan apabila naik satu anak tangga ke kedudukan ke-19 dunia.
Bagi kategori lelaki, pemain nombor satu negara, Ng Eain Yow, mengekalkan kedudukan di tangga ke-12 dunia dalam ranking terkini PSA.
Sumber: Astro AWANI