Foto: Instagram
Biduanita Negara, Siti Nurhaliza sekali lagi meneguhkan kedudukannya sebagai ikon seni tanah air apabila memperkenalkan album terbaharunya berjudul Gema Bumantara. Judul album ini membawa makna yang mendalam, menggambarkan semangat warisan Melayu yang terus bergema merentasi zaman dan generasi.
Advertisement
Album ini menampilkan keindahan muzik tradisional Melayu yang dipadukan dengan elemen kontemporari, menjadikannya segar namun tetap berakar kepada identiti budaya. Ia juga menjadi kesinambungan kepada siri album tradisional terdahulu seperti Cindai, Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur, yang masing-masing menjadi penanda aras dalam perjalanan karier beliau.
Menurut Siti Nurhaliza, album Gema Bumantara merupakan manifestasi cintanya terhadap warisan muzik tradisional serta tanggungjawab beliau untuk memperkasakan irama warisan bangsa agar terus dihargai generasi baharu. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pencipta lagu yang telah bersama menjayakan album ini sejak awal proses pembikinannya.
Album ini turut mendapat sokongan daripada MyCreative Ventures melalui Dana Kebolehan Pasaran (Domestik) 2.0 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sebagai bukti bahawa muzik berteraskan budaya masih mempunyai tempat dan nilai dalam industri seni moden yang dinamik.
Album yang mengandungi sepuluh lagu baharu ini memperlihatkan kerjasama dengan barisan komposer dan penulis lirik tersohor seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr. Turut menyumbang idea dan kreativiti ialah Aisha Retno, RADi, Melly Goeslaw, Amni Musrifah, Irena Taib, Jamilah Abu Bakar, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan serta Siti Nurhaliza sendiri.
Antara lagu yang menghiasi album ini termasuk “Kumbang Bunga” (duet bersama Lesti), “Hati Yang Rindu”, “Rencong”, “Pesanan Buat Diri”, “Kaca dan Permata” (duet bersama Umairah), “Syurgaloka”, “Hujung Bumi”, “Kesuma”, “Jenjang Cinta” dan “Cenderamaya”.
Proses penghasilan Gema Bumantara mengambil masa hampir setahun, melibatkan peringkat pencarian lagu, susunan muzik, rakaman vokal serta produksi akhir yang dijalankan dengan penuh ketelitian oleh seluruh pasukan produksi.
Album ini boleh didengari di semua platform digital utama bermula 28 Oktober 2025, manakala edisi fizikal dijadualkan dilancarkan pada Januari 2026 bersempena konsert khas Legacy 30 oleh Siti Nurhaliza.