Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Satu Nuansa Dua Ratu, Siti Nurhaliza dan Lesti Kejora Bersatu Dalam ‘Kumbang Bunga’

satu nuansa dua ratu, siti nurhaliza dan lesti kejora bersatu dalam ‘kumbang bunga’Foto: Instagram

Dunia muzik Nusantara kembali bersinar dengan gandingan luar biasa dua suara emas dari dua tanah air serumpun,  Datuk Seri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Lesti Kejora dari Indonesia  yang berpadu dalam lagu baharu berjudul Kumbang Bunga.

Advertisement

Dalam era muzik moden yang semakin mendominasi, kemunculan karya berteraskan tradisi ini membawa nafas segar dan menyentuh akar budaya Melayu dengan keindahan melodi yang mempesona.

Lagu Kumbang Bunga, ciptaan duo komposer berbakat Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, menjadi trek pembuka kepada album terbaharu Siti Nurhaliza. Ia bukan sekadar karya muzik, tetapi simbol penyatuan dua negara serumpun yang diikat oleh bahasa muzik sejagat.

Menariknya, lagu ini menggabungkan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri  yang diadun sempurna dalam sentuhan kontemporari tradisional. Gabungan ini mewujudkan jambatan emosi antara dua dunia muzik yang berbeza, sambil menonjolkan keindahan warisan muzik Melayu yang tidak lapuk dek zaman.

Siti mengakui beliau terpikat dengan melodi lagu itu sejak pertama kali mendengarnya. Idea untuk menyelitkan elemen dangdut timbul bagi memberi ruang kepada keunikan vokal Lesti, menjadikan harmoni keduanya begitu memukau.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti akhirnya terlaksana. Kumbang Bunga bukan sekadar lagu, tetapi simbol kasih seni antara dua negara. Saya berharap ia diterima baik bukan hanya di Malaysia dan Indonesia, tetapi juga di seluruh dunia,” kata Siti.

Lesti pula menyifatkan kolaborasi bersama Siti sebagai impian yang menjadi kenyataan.

“Terima kasih kepada Datuk Siti kerana mengundang saya dalam projek yang begitu indah ini. Peminat kami sudah lama menantikan kolaborasi ini, dan saya sangat bersyukur ia akhirnya terwujud,” ujarnya.

Menurut Firdaus Rahmat, proses mencipta Kumbang Bunga hanya mengambil masa dua hari kerana inspirasi untuk menonjolkan keindahan vokal kedua-dua penyanyi itu hadir secara semula jadi.

“Lagu ini memang digubah khas untuk Datuk Siti dan Lesti, bagi menonjolkan kelembutan suara mereka dalam nuansa tradisional moden yang segar,” katanya.

Kumbang Bunga, terbitan SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd., mula dilancarkan di semua pelantar digital pada 22 Oktober 2025.

Video muzik rasminya turut ditayangkan pada hari yang sama, menampilkan keindahan visual dan harmoni dua ratu seni Nusantara  bersatu dalam satu lagu, satu jiwa, satu cinta abadi terhadap muzik.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik