Foto: Gempak
Suasana pilu menyelubungi hati penyampai radio dan pelakon Sharifah Shahirah apabila mengenangkan kembali detik awal kelahiran Allahyarham Andre Mikhail, anak sulung kepada pelakon, Amyza Aznan.
Advertisement
Shahirah, atau mesra disapa Shiera, berkongsi bahawa dia sempat melawat Andre di Hospital Kuala Lumpur pada petang Isnin selepas menerima khabar keadaan anak muda itu semakin membimbangkan.
Walaupun jadual hariannya padat, dia tetap mencari ruang untuk hadir memberi sokongan kepada sahabat lamanya itu.
“Saya memang curi masa sekejap walaupun sibuk. Bila dapat tahu keadaan dia makin serius, hati saya tak tenang. Saya kena juga pergi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kesibukan masing-masing membuatkan mereka jarang bertemu dan hanya mengikuti perkembangan melalui media sosial.
“Kami ni selalunya tengok update dekat Instagram saja. Bila nampak dia gembira, kita pun rasa lega. Tak sangka keadaan jadi macam ni,” luahnya.
Dalam nada sebak, Shiera mengimbau hubungan akrabnya dengan keluarga Amyza sejak bertahun-tahun lalu. Malah, dia berada di sisi Amyza ketika Andre dilahirkan, kerana mereka mendapatkan rawatan daripada doktor yang sama.
“Saya ada dalam bilik bersalin masa tu. Saya memang nampak dia lahir. Rasa macam anak sendiri,” katanya perlahan.
Lebih menyentuh hati, nama Andre sebenarnya datang daripada cadangannya. Ketika itu, Shiera sedang mempertimbangkan nama tersebut untuk anaknya sendiri, namun akhirnya memberikannya kepada sahabatnya itu.
“Nama Andre tu saya yang bagi. Saya pernah terfikir nak guna untuk anak saya, tapi tak jadi. Saya beritahu Amyza, saya suka nama tu. Dia terus ambil dan gabungkan jadi Andre Mikael,” kongsinya.
Menceritakan kunjungan terakhirnya, Shiera mengakui dia tidak mampu menahan tangisan sebaik melangkah masuk melihat keadaan Andre yang semakin lemah.
“Bila saya masuk, saya terus menangis. Amyza dah kuat dah masa tu, tapi saya pula yang tak boleh kawal perasaan. Saya cuma cakap, ‘Korang jangan nangis, nanti saya lagi tak boleh berhenti.’”
Katanya, dia hanya mampu berdoa dalam hati agar sahabatnya diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian berat tersebut.
Shiera turut menyifatkan Andre sebagai anak yang bertanggungjawab dan sangat rapat dengan adik-beradiknya. Malah, arwah banyak membantu menjaga adik-adik ketika Amyza sibuk bekerja.
“Saya paling tak kuat bila tengok adik dia yang kecil tu. Mungkin selama ni Andre yang banyak jaga. Tadi pun adik dia tak berani dekat sangat. Semua orang rasa berat, tapi kita tetap kena tempuh,” katanya lagi.
Untuk rekod, Andre Mikhail menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.15 malam Isnin selepas bertarung dengan kanser paru-paru tahap empat. Allahyarham pergi pada usia 20 tahun selepas beberapa hari menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Sumber: Gempak