Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin maut manakala lebih 70 lagi cedera ‘dibakar hidup-hidup’ menerusi siri genosid terbaharu rejim Israel di kompleks Hospital Syahid al-Aqsa di tengah Deir al-Balah, Semenanjung Gaza, awal pagi Isnin.

Serangan udara ke atas khemah pelarian yang terletak di dalam hospital itu menyebabkan majoriti mangsa melecur teruk dengan beberapa mayat terbakar sehingga tidak dapat dicam. Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. Angka kematian dijangka meningkat.
Advertisement
Kompleks tersebut merupakan kawasan khemah perlindungan menempatkan jutaan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal setelah dipaksa keluar dari kediaman masing-masing.
Pejabat media kerajaan Gaza mengesahkan bahawa serangan tersebut merupakan kali ketujuh oleh rejim Israel, yang menyasarkan kawasan khemah penduduk yang dipindahkan di dalam kawasan hospital berkenaan, sejak lebih setahun lalu.
Sementara itu pada hari sama, sekurangnya-kurang 10 terbunuh dalam serangan rejim Zionis di pusat agihan makanan di kem pelarian di Jabaliya.
Sumber: Bernama