Foto: Astro AWANI
Kesemua sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia, termasuk wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri, yang sebelum ini diculik tentera Israel ketika menyertai pelayaran kapal Conscience anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC), disahkan bakal tiba di Istanbul malam ini.
Advertisement
Menurut sumber Astro AWANI, kesemua mereka akan dibawa keluar dari Israel selewat-lewatnya petang ini.
Sebelum ini, Humanitarian Relief Foundation (IHH) memaklumkan sebuah pesawat khas dari Israel dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Turkiye, membawa aktivis dari 22 negara termasuk Malaysia yang sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Israel.
Sementara itu, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) kini dalam persiapan menyambut kepulangan sembilan aktivis Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan FFC x Thousand Madleens to Gaza (TMTG). Pesawat dijangka mendarat di Istanbul sekitar jam 3 petang waktu tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pusat arahan FFC di Turkiye bahawa pesawat tersebut berkemungkinan turut membawa enam aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Norway, Maghribi dan Sepanyol.
“MyCARE telah berhubung dengan keluarga aktivis bagi persiapan menyambut mereka. Kami juga akan menghantar dua hingga tiga wakil ke Istanbul untuk memberikan bantuan, termasuk pakaian dan keperluan asas,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, peguam yang dilantik telah berjaya menemui kesemua aktivis, namun maklumat lanjut hanya akan diperoleh selepas waktu kerja rasmi di Istanbul bermula.
“Kami menjangka kenyataan lanjut akan diterima dalam satu hingga dua jam lagi. Jika ada aktivis yang memerlukan rawatan, mereka akan dirawat terlebih dahulu di Istanbul sebelum diuruskan kepulangan ke Malaysia dalam tempoh satu atau dua hari,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan Turkiye menyatakan kesediaan untuk membantu membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel — satu kenyataan yang turut disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Bukit Jalil.
Wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri Abdul Jalil, merupakan antara anggota delegasi FFC x TMTG yang diserbu tentera Israel di perairan antarabangsa pada jam 10.05 pagi, Rabu lalu.
Sumber: Astro AWANI