
Foto: Astro Awani
Advertisement
Lelaki yang tular menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk membiayai kos pembedahan memasang implan tempurung kepalanya, dilaporkan selamat menjalani pembedahan itu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, pembedahan Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, bermula 8.30 pagi dan selesai pada 1 tengah hari.
Difahamkan, ibu kepada Muhammad Sufi, Noraini Ishak, 71, memberitahu anaknya kini dalam keadaan stabil dan masih memerlukan penjagaan rapi di hospital.
"Kalau saluran darah di kepalanya nampak baik mungkin beberapa hari lagi dia akan dibenarkan keluar hospital, tapi sekarang ini memang dia perlu dijaga. Dia perlu tenang dan tidak boleh serabut (banyak berfikir).
"Doktor nasihatkan dia tidak diganggu ketika ini, tak boleh tanya dia macam-macam atau temu ramah dia lagi, takut ganggu proses penyembuhan dia," katanya ketika dihubungi petang semalam.
Dalam pada itu, Noraini berkata, selepas anaknya tular di media sosial sebelum ini, keadaannya agak sedikit terganggu menyebabkan dia menjadi gelisah dan bimbang.
"Sekarang ini saya jaga dia di wad tapi saya ada upah seorang penjaga lain untuk dia, selepas dia sedar, dia cuba nak tarik tiub, sekarang ini doktor nasihatkan agar dia banyak berehat.
"Kalau diikutkan saya nak simpan dulu telefon dia sebab tak mahu dia berhubung dengan sesiapa, tapi saya rasa kasihan, kita doakan dia cepat sembuh," katanya.
Bagaimanapun, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk orang ramai yang membuat tempahan untuk membeli daging salai milik anaknya itu.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sufi yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak telah mendapat perhatian Perdana Menteri.
Sumbangan berjumlah RM15,000 telah disampaikan, setelah dia memuat naik kandungan di Tik Tok menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan kelima bagi memasang implan berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Sufi sebelum ini pernah koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah di Alor Setar, dua tahun lalu.
Untuk makluman, pembedahan memasang implan tempurung kepala Muhammad Sufi pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac depan, namun prosedur itu dipercepatkan.
Sumber: Harian Metro