Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Batas Pergaulan Bukan Keterlaluan, Scha Alyahya Anggap Didikan Asas Ibu Bapa

batas pergaulan bukan keterlaluan, scha alyahya anggap didikan asas ibu bapaFoto: Instagram

Pelakon, Scha Alyahya tampil mempertahankan pendekatan didikan yang menitikberatkan batas pergaulan anak-anak, menyifatkannya sebagai asas penting dalam pembentukan adab dan akhlak sejak usia kecil.

Advertisement

Scha atau nama penuhnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 43, berkata penetapan had tertentu dalam kehidupan anak-anak bukan bertujuan mengongkong, sebaliknya sebagai persediaan agar mereka mampu berdikari dan membuat keputusan yang betul apabila dewasa kelak.

“Tak nak disentuh? Bagi saya itu perkara yang bagus. Sebagai ibu bapa, banyak benda baharu yang kita kena belajar dan ada juga kerisauan yang sebelum ini kita tak sangka kita akan ada,” katanya.

Menurut Scha, walaupun ada yang menganggap sikapnya terlalu memikirkan pelbagai kemungkinan, ia sebenarnya berpunca daripada naluri seorang ibu yang mahu melindungi anak-anak.

“Mungkin Awal kata saya overthink, tapi bagi saya itulah naluri mak. Bila kita tahu hadkan batas, itulah perkara paling penting.

“Itu asas. Kalau kita ajar mereka dari sekarang, insya-Allah bila besar nanti mereka akan ada adab dan akhlak yang baik,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx.

Dalam masa sama, pelakon filem Telaga Suriram itu menegaskan peranan ibu bapa menjadi lebih mencabar dalam dunia moden yang sarat dengan pengaruh luar, khususnya melalui teknologi dan media sosial.

“Kita sebagai ibu bapa adalah orang yang paling dekat dengan anak-anak. Dari situlah cara kita membentuk mereka membesar.

“Kita kena ada had dari segi pergaulan, percakapan, media sosial, berborak dengan orang tak dikenali, termasuk bermain permainan video dengan individu yang kita tak tahu siapa,” jelasnya.

Tambah Scha, semua aspek tersebut perlu diberi perhatian kerana ia membentuk sempadan pergaulan yang sihat dalam kehidupan anak-anak pada masa kini.

Mengulas lanjut, Scha mengakui tidak pernah berkompromi sekiranya anak-anak melakukan perkara yang dirasakan tidak sesuai.

“Saya memang selalu nasihat sebab saya jenis cepat takut. Jadi saya akan tengok iPad, apa yang mereka muat turun dan apa yang mereka sembangkan dengan kawan-kawan.

“Kalau saya rasa benda itu tak elok, saya akan cakap dan jelaskan kepada mereka. Kalau tak jaga atau pantau, nanti mereka macam tak ada had,” katanya lagi.

Sebelum ini, pempengaruh dan usahawan Datin Seri Shahida pernah berkongsi insiden melibatkan anak perempuannya, Raudhah Arshiyah, yang ditegur oleh bapanya, Datuk Seri Aliff Syukri selepas kanak-kanak itu dilihat bergurau dengan pengurus lelaki mereka.

Menurut Shahida, perkara tersebut wajar diberi perhatian walaupun anak masih kecil kerana soal batas pergaulan perlu diterapkan sejak awal.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik