Foto: Instagram
Bekas anggota Dolla, Syasya Rizal, berkongsi pengalaman jujurnya mengenai proses penghijrahan yang menurutnya tidak selalu diberikan sokongan.
Advertisement
Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah berkata ada masanya dia terasa perubahan dirinya hanya diraikan jika penampilannya masih memenuhi standard kecantikan yang disukai masyarakat.
“Macam hijrah hanya layak diraikan kalau dia masih cantik ikut standard orang,” katanya dalam satu perkongsian.
Syasya turut mengakui sebelum penghijrahannya, ada pihak yang cuba mempengaruhinya untuk kekal dengan imej lama.
“Ada yang cakap, ‘skirt pendek ramai je pakai… menari sikit pun bukan dosa besar.’ Bila ulang banyak kali, sampai saya rasa macam benda berdosa ni boleh jadi content je,” katanya.
Selepas mula berhijab, perubahan reaksi sekeliling lebih ketara. Jika dahulu dia menerima gelaran ‘Queen’, kini ada pula yang menyindirnya sebagai ‘ustazah TikTok’.
Syasya menjelaskan keputusan memadam kesemua gambar serta video lamanya bukan kerana malu kepada manusia.
“Saya padam bukan sebab takut orang tengok, tapi sebab saya takut Allah tengok versi saya yang dulu,” ujarnya.
Dia turut berkongsi bahawa melalui fasa rasa ‘hilang’ telah membawanya kepada pemahaman lebih mendalam tentang diri.
“Sampai satu hari, Allah buat rasa hilang... dan dalam kehilangan itu, saya jumpa diri saya semula,” katanya.
Syasya berharap dirinya terus diberi kekuatan untuk kekal istiqamah dalam perubahan yang dilalui. Netizen pula dilihat memberikan sokongan dan doa agar dia terus teguh dengan jalan yang dipilih.
Untuk rekod, Syasya mengumumkan pengunduran daripada Dolla pada 8 April tahun lalu sebelum menikah dengan Nasrullah Mohd Sapie pada 21 April 2024.
Sumber: Kosmo