
Foto: Facebook Kesultanan Pahang
Advertisement
Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa sebarang pembinaan rumah ibadat di negeri itu perlu melalui proses dan peruntukan undang undang yang telah ditetapkan bagi menjamin kestabilan serta perpaduan masyarakat majmuk.
Menurut baginda, tindakan membina tanpa kelulusan sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berisiko mencetuskan salah faham dan ketegangan antara kaum serta penganut agama.
“Undang undang bukan menyekat atau menindas tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama sama,” titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di portal rasmi Kesultanan Pahang.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, Temerloh.
Dalam titah sama, baginda mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi prosedur boleh menimbulkan kekeliruan dan membuka ruang kepada pertikaian dalam kalangan masyarakat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda sebagai gambaran terhadap akibat bertindak tanpa perancangan dan kelulusan sewajarnya.
Al Sultan Abdullah turut menekankan bahawa negeri Pahang memerlukan ketertiban dan rasa hormat terhadap undang undang, bukannya keputusan tergesa gesa yang boleh mencetuskan sengketa.
Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memberi penjelasan jelas mengenai prosedur yang perlu dipatuhi.
“Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri,” titah baginda.
Sumber: Portal Rasmi Istana Pahang