Foto: Facebook
Ribut Tropika Senyar terus menarik perhatian ramai apabila fenomena cuaca yang jarang berlaku ini terbentuk di kawasan Selat Melaka, satu lokasi yang hampir tidak pernah menjadi ‘tapak lahir’ ribut tropika.
Advertisement
MetMalaysia memaklumkan bahawa kejadian ini mencetuskan minat bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan, tetapi turut dipantau rapat pakar cuaca antarabangsa.
Sistem ribut itu dikesan bermula di utara Sumatera sebelum bergerak ke arah Timur-Tenggara merentasi Selat Melaka, seterusnya menghampiri kawasan barat Semenanjung Malaysia. Pergerakan ini membawa hujan lebat berterusan, angin kuat dan keadaan laut yang bergelora, menyebabkan amaran cuaca dikeluarkan di beberapa negeri.
MetMalaysia menjelaskan bahawa impaknya berpotensi lebih besar di kawasan yang sudah pun mengalami banjir sejak beberapa minggu lalu. Hujan lebat berkekalan meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai dan gangguan terhadap aktiviti harian penduduk.
Sebagai langkah persediaan, beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor telah membuka lebih 1,000 pusat pemindahan sementara, selain menggerakkan pasukan kecemasan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Fenomena seperti Senyar dianggap cukup luar biasa kerana Malaysia jarang sekali berdepan ribut tropika yang terbentuk begitu dekat dengan Semenanjung.
Situasi ini sekali lagi mengingatkan bahawa perubahan cuaca semakin sukar dijangka, dan orang ramai disarankan memantau perkembangan terkini serta mematuhi nasihat keselamatan pihak berkuasa.
Sumber: Kosmo