Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Restoran Mi Segera Jadi Mini Zoo, Pelanggan Tidak Tahan Bau Najis Haiwan

restoran mi segera jadi mini zoo, pelanggan tidak tahan bau najis haiwan

Sebuah restoran mi segera di Jalan Bunga Raya, Kampung Jawa, Melaka telah menjadi tular selepas mempamerkan seekor alpaka sebagai "tarikan istimewa" namun kisah ini berakhir dengan tindakan tegas pihak berkuasa.

Advertisement

Restoran yang mula beroperasi sejak April lalu bukan sahaja menawarkan makanan, tetapi juga pengalaman melihat pelbagai haiwan secara langsung termasuk kambing, angsa, itik, arnab, kucing dan tentunya, alpaka yang menjadi perhatian ramai. Namun, ‘kreativiti’ itu tidak bertahan lama apabila pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melakukan serbuan sekitar jam 12 tengah malam Isnin lalu.

Operasi itu diketuai sendiri oleh Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, yang mengarahkan restoran berkenaan ditutup selama tujuh hari bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan menyeluruh. Pemilik premis berusia 31 tahun dan berstatus penduduk tetap (PR) dari Singapura itu turut dikenakan kompaun berjumlah RM10,250.

restoran mi segera jadi mini zoo, pelanggan tidak tahan bau najis haiwan

“Tindakan ini diambil selepas menerima pelbagai aduan daripada orang awam tentang kehadiran haiwan dalam premis makanan yang jelas melanggar garis panduan keselamatan dan kebersihan makanan,” jelas Shadan.

Menurut semakan, restoran itu mula ‘berubah wajah’ sejak Jun lalu apabila pemiliknya memasukkan 23 ekor haiwan ke dalam premis, termasuk seekor alpaka sejenis haiwan eksotik dari Amerika Selatan.

restoran mi segera jadi mini zoo, pelanggan tidak tahan bau najis haiwan

Bahagian tingkat atas restoran itu telah diubahsuai menjadi sebuah mini zoo tanpa sebarang kelulusan. Haiwan-haiwan seperti kambing dan angsa dibiarkan berkeliaran, manakala kucing ditempatkan dalam ruang berpintu kaca. Bilik khas pula disediakan untuk alpaka malang yang kini menjadi simbol kisah ini.

Meskipun terdapat pengudaraan melalui tingkap terbuka, kipas dan penghawa dingin, ruang itu masih berbau kuat hamis najis dan air kencing haiwan memenuhi lantai, menjadikan suasana amat tidak sesuai untuk premis makanan.

“Setakat ini, ini adalah kali pertama kita menemui restoran dalam kawasan majlis bandaraya ini dijadikan mini zoo,” ujar Shadan.

Fenomena restoran ‘berbau zoo’ ini mula mendapat perhatian apabila video seekor alpaka yang kelihatan termenung dan bersendirian tular di TikTok. Netizen meluahkan rasa simpati terhadap haiwan eksotik itu yang tidak ditempatkan dalam habitat sewajarnya.

“Hari pertama kafe buka, ingat alpaka tu untuk tarikan awal je… tapi makin lama, berbulan tengok dia berdiri je… kadang termenung. Pelik macam mana boleh lepas kafe ada binatang?” komen seorang pengguna Facebook.

Pihak MBMB telah mengarahkan pemilik restoran itu untuk mengeluarkan semua haiwan dalam tempoh tujuh hari. Restoran juga perlu dibersihkan sepenuhnya sebelum boleh beroperasi semula. Kompaun turut dikenakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta Undang-undang Kecil Petempatan Makanan MBMB 2020.

Langkah ini diambil bukan sahaja demi keselamatan dan kebersihan pelanggan, tetapi juga untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan yang dipamerkan dalam suasana yang jelas tidak sesuai.

Idea unik dan ‘berbeza’ tidak semestinya sesuai terutama bila melibatkan nyawa dan keselesaan haiwan serta kebersihan makanan. Dalam kes ini, cubaan menjadikan restoran sebagai tarikan mini zoo akhirnya mengundang padah.

Moga kejadian ini menjadi pengajaran kepada pengusaha lain agar tidak mengabaikan garis panduan serta tanggungjawab terhadap pelanggan dan haiwan. Kreativiti tanpa etika, hanya akan menimbulkan bencana.

Jika anda melihat atau mengetahui sebarang premis yang tidak mematuhi peraturan kesihatan awam, laporkan kepada pihak berkuasa tempatan. Setiap aduan anda mampu menyelamatkan nyawa sama ada manusia, atau haiwan.

Sumber: Sinar Harian

SINAR Muzik Retro Terbaik