Foto: Instagram
Isu penunggang basikal yang tidak mematuhi peraturan jalan raya bukanlah sesuatu yang baharu, namun perkara ini dilihat masih berulang dan terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Advertisement
Terbaharu, pelakon terkenal tanah air, Datuk Remy Ishak, tampil memberi teguran tegas kepada golongan penggemar aktiviti berbasikal, khususnya mereka yang berkayuh secara rekreasi, agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap undang-undang jalan raya.
Remy, atau nama penuhnya Mohammad Zalimei Ishak, 43, menekankan bahawa setiap pengguna jalan raya tanpa mengira jenis kenderaan atau aktiviti, perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan bersama. Menurut beliau, jalan raya bukanlah tempat untuk menunjukkan keegoan individu sebaliknya ruang awam yang harus digunakan dengan berhemah.
“Katanya kayuh sihatkan badan. Nampaknya yang paling besar bukan betis, tapi kepala. Jalan raya itu untuk dikongsi ramai, bukan tapak kayuhan ego sendiri. Kalau tak boleh ditegur, baik kayuh dalam mimpi,” katanya secara sinis menerusi satu hantaran di Insta Story miliknya.
Teguran tersebut dipercayai dibuat susulan penularan sebuah video yang memaparkan sekumpulan penunggang basikal dikatakan menghalang laluan sebuah bas di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, menghala ke Sungai Buloh, selepas simpang lampu isyarat Batu Arang.
Dalam kejadian tersebut, para penunggang basikal mendakwa mereka dimarahi oleh pemandu bas, namun berdasarkan rakaman video dari sudut lain, jelas kelihatan kumpulan berkenaan telah memasuki lorong khas untuk kenderaan bermotor di lebuh raya.
Insiden seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku. Sekitar sebulan sebelum kejadian tersebut, satu lagi insiden hampir serupa dilaporkan apabila sekumpulan penunggang basikal dilihat berkonvoi dalam lorong motosikal yang sempit sambil membentuk barisan dua lapis, sekali gus menyukarkan laluan pengguna jalan yang lain.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penegasan bahawa sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang sama sekali. Hal ini kerana lebuh raya dibina khusus untuk kegunaan kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal yang bergerak dalam kelajuan tinggi, menjadikan kehadiran basikal sangat berisiko dan membahayakan nyawa penunggang itu sendiri.
Larangan ini dilihat penting demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 12 bulan, bergantung kepada tahap dan jenis kesalahan yang dilakukan.
Untuk rekod, aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya, manakala pengguna masih dibenarkan untuk berkayuh di jalan-jalan lain seperti Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, dan Jalan Bandaran, selagi mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Sumber: Instagram