Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Rawatan Resdung Paling Popular Ini Rupanya Penipuan Besar!

rawatan resdung paling popular ini rupanya penipuan besar!

(Corong resdung yang dikatakan mampu membunuh ulat resdung)

Advertisement

Ini antara penipuan kesihatan paling legend yang masih hidup subur sampai hari ini.

Bayangkan situasi ini. Pergi spa, pasar malam atau gerai rawatan alternatif. Ada rawatan popular dipanggil ‘sedut resdung’ guna corong yang diperbuat daripada kertas berlilin, dibakar dengan api dan diletakkan berhampiran dengan kawasan hidung. Asap tebal disertai bunyi ‘pop pop’ akan muncul.

Muka akan terasa sedikit pedih dan gatal merenyam.

Lepas beberapa minit, perawat buka corong dan tunjukkan habuk putih atau kekuningan yang melekat di dalamnya.

“Tengok ni kak, banyak betul ulat resdung. Patutlah hidung selalu gatal.”

Kita pun rasa geli, puas hati dan kononnya rasa lega.

“Berbaloi bayar,” kata hati.

Tapi sebenarnya, itu semua satu ilusi.

Habuk putih atau kekuningan yang ditunjukkan itu BUKAN ulat, cacing atau hama.

Ia sebenarnya:

  • Sisa lilin (wax)
  • Habuk kayu atau bahan corong yang terbakar
  • Atau mendapan asap yang melekat akibat haba

Pendek kata, sisa daripada alat itu sendiri, bukan keluar daripada hidung anda.

Secara perubatan dan saintifik, TIADA istilah ‘ulat resdung’.

Resdung (sinusitis) berlaku kerana radang mukosa sinus, jangkitan kuman, Alahan dan saluran sinus yang tersumbat. Bukan sebab ada makhluk buat sarang dalam hidung.

Apa yang lebih menyedihkan rawatan yang kononnya nak membersihkan hidung ini sebenarnya merosakkan sistem pertahanan hidung. Ini kerana dalam hidung kita ada silia, iaitu bulu halus yang tugasnya menapis habuk, menolak kuman keluar dan melindungi paru-paru.

rawatan resdung paling popular ini rupanya penipuan besar!

Foto Hiasan

Bila asap panas dan toksik disedut, silia boleh lumpuh, terbakar dan meruntuhkan sistem pertahanan hidung. Bukan setakat pedih sementara. Kesan jangka panjang termasuk risiko jangkitan sinus makin kerap, masalah pernafasan kronik, asap toksik masuk ke paru-paru dan lebih teruk apabila tekanan haba boleh menyebabkan gegendang telinga pecah.

Ada yang lepas rawatan, resdung jadi lebih teruk daripada sebelum ‘dirawat’.

Berhentilah percaya pada mitos ulat resdung. Hidung kita bukan tempurung kelapa yang boleh diasap-asapkan. Kalau hidung gatal, tersumbat atau sakit, segeralah berjumpa doktor ENT, dapatkan diagnosis sebenar dan rawat punca.

Sumber: Public Health Malaysia

SINAR Muzik Retro Terbaik