Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Datang Sebab Makanan di Kedai Serbaneka, Bukan Datang Melawat Kuil atau Pelajari Budaya..” - Rakyat Malaysia Diperli Laman Thailand

“datang sebab makanan di kedai serbaneka, bukan datang melawat kuil atau pelajari budaya..” - rakyat malaysia diperli laman thailandFoto sekadar hiasan

Satu hantaran yang dimuat naik oleh laman Facebook Thailand, My Thailand, menjadi tular selepas mengkritik secara sinis sikap segelintir pelancong Malaysia yang melancong ke negara itu.

Advertisement

Pada awalnya, perkongsian tersebut kelihatan seperti kandungan hiburan biasa. Namun, mesej yang disampaikan nyata cukup pedas sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutamanya rakyat Malaysia.

Hantaran itu menggambarkan pelancong Malaysia lebih tertumpu kepada aktiviti membeli-belah berbanding menikmati budaya tempatan atau mengunjungi kuil. Kedai serbaneka 7-Eleven dikatakan menjadi destinasi utama, dengan produk popular seperti Meiji Banana Milk, sosej CP dan sandwich bakar ham keju dibeli dalam jumlah yang luar biasa, seolah-olah hidangan bertaraf restoran mewah.

Sindiran turut dilemparkan terhadap pembelian secara borong, termasuk gambaran sebuah keluarga yang bergerak tersusun seperti satu pasukan taktikal sambil mengosongkan rak makanan.

 

 

“Kepada pelancong Malaysia yang mengisi 50 sandwich bakar ke dalam bonet Myvi. Kami nampak plat nombor hitam itu. Kami tahu anda ada di sini. Anda bukan datang untuk budaya atau melawat kuil. Anda datang untuk ‘menjarah’ 7-Eleven,” tulis hantaran tersebut.

Perkongsian itu turut mempersoalkan tindakan membeli puluhan botol susu dan snek untuk percutian singkat dengan sindiran, “Adakah berlaku kebuluran di Malaysia yang kami tidak tahu?”

Selain tabiat membeli-belah, gaya pemanduan pelancong Malaysia juga menjadi sasaran kritikan. Pemandu dari Malaysia digambarkan memandu secara agresif, tidak mematuhi lorong dan had laju, malah meletakkan kenderaan sesuka hati di hadapan restoran kerana enggan berjalan jauh.

Komen pelancong Malaysia terhadap makanan tempatan turut dipetik, termasuk situasi di mana tom yam yang dinikmati di gerai jalanan Thailand disifatkan sebagai biasa sahaja, sebelum dibandingkan dengan versi di Malaysia.

“Maaf, anda berada di Thailand. Ini versi asal. Yang anda makan di Malaysia hanyalah olahan semula,” sindir hantaran berkenaan.

Walaupun bernada sinis, perkongsian itu membawa mesej yang wajar dijadikan peringatan. Setiap perlakuan ketika berada di negara orang mencerminkan imej diri dan negara asal.

Sikap menghormati budaya tempatan, beradab ketika berbelanja, mematuhi peraturan jalan raya serta bersikap rendah diri ketika melancong penting untuk memastikan pengalaman bercuti lebih bermakna dan dihormati.

Sumber: Laman MY Thailand

SINAR Muzik Retro Terbaik