Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Raja Azura Fail Tuntutan Nafkah Tiga Anak Selepas 15 Tahun

raja azura fail tuntutan nafkah tiga anak selepas 15 tahunFoto: Instagram

Pelakon dan pengacara, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman terhadap bekas suami, Adzmin Osman, berhubung pembayaran nafkah tiga anak mereka yang didakwa tidak ditunaikan sejak lebih 15 tahun lalu.

Advertisement

Peguam syarie yang mewakilinya, Mohammad Amirul Hanizan, berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan bekas suami anak guamnya mematuhi perintah mahkamah yang dipersetujui selepas perceraian pada 2010.

“Hari ini kami memulakan prosiding berhubung perintah mahkamah pada 2010 yang tidak dilaksanakan pihak defendan. Kebanyakan perintah itu berkaitan nafkah anak, namun jumlah tuntutan tidak boleh didedahkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Beliau memaklumkan, pihaknya kini menunggu tarikh prosiding seterusnya yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Sementara itu, Raja Azura menjelaskan bahawa tuntutan tersebut dibuat demi hak anak-anaknya.

“Ini kali pertama saya hadir ke mahkamah. Saya bukan mahu bergaduh, tetapi hanya mahu menuntut hak anak-anak saya. Mereka sudah cukup dewasa untuk memahami apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, kekuatan untuk membuat tuntutan itu datang daripada tiga anaknya sendiri.

“Permohonan ini juga adalah atas permintaan mereka. Saya hanya mahu menuntut hak yang telah termaktub dalam lafaz taklik, bukan mencari salah sesiapa. Jika bekas suami tampil memberikan kerjasama, saya bersyukur. Sekurang-kurangnya, ini usaha saya untuk anak-anak,” ujarnya.

Raja Azura turut mengakui tidak pernah bertemu atau berhubung dengan bekas suaminya sejak mereka bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga anak iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20.

Sumber: HibGlam

SINAR Muzik Retro Terbaik