Foto: Instagram
Kematian secara tiba-tiba ketika bersukan sering menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku pada waktu malam. Ramai yang beranggapan bahawa bersukan pada waktu tersebut berisiko tinggi sehingga boleh membawa maut.
Advertisement
Namun, menurut doktor perubatan terkenal, Dr Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr Say, anggapan itu tidak tepat sama sekali.
Katanya, kematian mengejut ketika bersenam bukanlah berpunca daripada aktiviti dilakukan pada waktu malam, sebaliknya disebabkan oleh gabungan beberapa faktor kesihatan yang sering tidak disedari.
“Ramai percaya bersukan malam boleh sebabkan peningkatan kortisol dan mengejutkan jantung. Tapi sebenarnya tidak begitu,” jelasnya dalam satu perkongsian di media sosial.
Empat Faktor Utama Kematian Mengejut Semasa Bersukan
Menurut Dr Say, terdapat beberapa punca utama yang boleh membawa kepada kejadian tersebut.
1. Serangan Jantung Tersembunyi
Ramai tidak sedar mereka mempunyai masalah jantung kerana tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan. Masalah tersembunyi ini boleh menyebabkan serangan jantung secara tiba-tiba ketika tubuh berada dalam keadaan aktif.
2. Kesan ‘Weekend Warrior’
Golongan yang sibuk bekerja dan hanya bersenam secara intensif pada hujung minggu tanpa persediaan mencukupi turut berisiko. Tubuh dan jantung yang tidak biasa dengan aktiviti berat boleh terkejut apabila dipaksa bekerja secara mendadak.
3. Sukan Berintensiti Tinggi
Aktiviti seperti badminton, futsal dan bola sepak memerlukan tenaga serta kadar degupan jantung yang tinggi. Jika dilakukan tanpa persediaan atau stamina mencukupi, ia boleh memberi tekanan besar kepada jantung.
4. Tiada Rutin Pemanasan dan Penyejukan Badan
Dr Say menekankan kepentingan melakukan ‘warm up’ dan ‘cool down’. Tanpa pemanasan, otot dan jantung akan ‘terkejut’ dengan pergerakan intensif, manakala tanpa penyejukan, tubuh akan sukar kembali ke keadaan rehat dan menyebabkan kesakitan otot.
Beliau menambah, aktiviti ‘cool down’ seperti regangan atau memperlahankan pergerakan selepas bersenam membantu mengembalikan kadar degupan jantung ke tahap normal dan mengelak kecederaan otot.
Kortisol Bukan Penyebab Utama
Dr Say turut menolak dakwaan bahawa senaman malam boleh membawa maut kerana peningkatan hormon kortisol. Katanya, kortisol memang meningkat ketika bersenam tetapi ia tidak membahayakan tubuh.
“Tiada bukti saintifik yang menunjukkan bersukan waktu malam boleh menyebabkan kematian kerana hormon kortisol. Kebanyakan kes dikaitkan dengan penyakit jantung yang tidak dikesan,” katanya.
Pandangan ini turut disokong oleh Public Health Malaysia yang menegaskan punca sebenar kematian mengejut lebih berkait dengan penyakit jantung dan tekanan darah tinggi yang tidak dikawal.
Pemeriksaan Kesihatan Masih Diperlukan Walaupun Nampak Sihat
Dr Say mengingatkan individu berusia 30 tahun ke atas agar tidak mengambil mudah soal pemeriksaan kesihatan.
“Ramai lelaki umur 30-an dan 40-an nampak sihat, tapi sebenarnya ada kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes atau saluran darah tersumbat. Ramai kes yang jatuh tiba-tiba di gelanggang tanpa pernah buat pemeriksaan,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan supaya mereka yang ingin bersenam pada waktu malam memastikan diri dalam keadaan cukup rehat, melakukan pemanasan dan penyejukan, serta tidak melakukan aktiviti secara keterlaluan.
Sumber: Instagram