Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Puasa Lebih 20 Jam: Cabaran Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah

puasa lebih 20 jam: cabaran laksamana maritim datuk mohd rosli abdullahFoto: Malaysian Defence

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara. Dengan tanggungjawab besar yang digalas, APMM memastikan keselamatan perairan negara yang seluas 556,285 kilometer persegi sentiasa terjaga daripada ancaman jenayah laut.

Advertisement

Sebagai Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah memikul tugas berat ini dengan penuh dedikasi. Dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro, beliau berkongsi pengalaman berpuasa dan kenangan sepanjang bulan Ramadan yang penuh cabaran serta pengajaran.

Datuk Mohd Rosli mengenang kembali pengalaman berpuasa di luar negara yang memberi kesan mendalam kepada dirinya.

"Antara pengalaman berpuasa yang tidak dapat saya lupakan adalah pengalaman berpuasa di luar negara. Disebabkan perubahan zon waktu dan tempoh siang yang lebih panjang, saya akhirnya berpuasa lebih daripada 20 jam.

Tempoh puasa yang panjang, juadah berbuka yang sederhana dan tiada bazar Ramadan, memberikan pengalaman berharga tentang kesabaran serta kekuatan iman ketika berada di perantauan" ujarnya.

Mengimbas kembali permulaan beliau berpuasa, Datuk Mohd Rosli menceritakan bagaimana beliau mula berpuasa penuh pada usia tujuh tahun.

Pada peringkat awal, beliau hanya berlatih berpuasa separuh hari, namun dengan sokongan dan dorongan ibu bapa, beliau berjaya berpuasa penuh untuk kali pertama ketika berusia tujuh tahun.

Menurutnya, semangat untuk berpuasa datang bukan sahaja daripada didikan ibu bapa tetapi juga suasana Ramadan yang sangat istimewa.

"Bagi saya, kurma adalah yang wajib ada di meja berbuka puasa. Ia bukan sahaja sunnah Rasulullah SAW tetapi juga memberikan tenaga segera selepas seharian berpuasa," katanya.

puasa lebih 20 jam: cabaran laksamana maritim datuk mohd rosli abdullahFoto: Malaysia Defence

Menurut beliau, pengambilan kurma selepas seharian berpuasa bukan sahaja mengikut sunnah, tetapi juga memberi tenaga yang diperlukan setelah berpuasa sepanjang hari.

Sebagai seorang pegawai yang bertugas di lautan, Datuk Mohd Rosli turut menghadapi cabaran besar ketika berpuasa, terutamanya semasa bertugas di tengah laut.

"Cabaran terbesar yang pernah saya alami ketika berpuasa adalah ketika bertugas di tengah laut. Tugas di lautan bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal tetapi juga mental, terutamanya ketika menjalankan pemeriksaan ke atas kapal dan bot," ujarnya.

Dalam pada itu, tugas berat ini memerlukan beliau untuk sentiasa fokus dan berdisiplin dalam memastikan keselamatan perairan negara terjaga.

Walaupun tidak mempunyai bazar Ramadan kegemaran, Datuk Mohd Rosli lebih memilih untuk berbuka puasa di rumah bersama keluarga.

"Tiada bazar Ramadan kegemaran kerana saya jarang membeli juadah berbuka di luar. Pada kebanyakan masa saya sering makan masakan yang disediakan keluarga di rumah. Saya lebih suka berbuka puasa di rumah.

“Suasana berbuka bersama keluarga memberikan ketenangan dan kehangatan yang sukar didapati di tempat lain. Tambah pula air tangan isteri dan ibu adalah yang paling istimewa untuk saya," jelasnya.

Mengenai solat tarawih, beliau menyifatkan ia sebagai salah satu amalan yang sangat berharga.

"Antara perkara yang menjadikan solat tarawih begitu berharga ialah kerana ia hanya dapat dilakukan pada bulan Ramadan. Suasana solat berjemaah di masjid yang penuh dengan jemaah, bacaan al-Quran yang merdu serta perasaan kebersamaan dengan umat Islam lain menjadikan pengalaman ini sangat istimewa," katanya.

Walaupun ada yang memilih untuk melakukan 20 rakaat, beliau lebih memilih untuk menunaikan lapan rakaat, dengan menekankan bahawa yang penting adalah kekhusyukan dan keikhlasan dalam melaksanakan ibadah tersebut.

Ramadan kali ini berbeza bagi Datuk Mohd Rosli kerana beliau menyambutnya dengan tanggungjawab yang lebih besar sebagai Ketua Pengarah APMM.

"Ramadan kali ini berbeza kerana saya menyambutnya sebagai Ketua Pengarah. Dengan tanggungjawab yang lebih besar, jadual harian saya lebih padat dengan pelbagai jemputan mesyuarat dan berbuka puasa rasmi, perjumpaan bersama pegawai serta program-program rasmi," katanya.

Walaupun terikat dengan pelbagai komitmen rasmi, beliau tetap berusaha untuk mengekalkan kesungguhan dalam beribadah sepanjang bulan yang mulia ini.

"Ramadan sentiasa menjadi bulan yang mendidik kita untuk memperbaiki diri, bukan sahaja dari segi ibadah tetapi juga dalam aspek kehidupan seharian," ujar beliau.

Walaupun beliau belum sempat membuat persiapan raya sepenuhnya disebabkan jadual yang padat, beliau tetap bersyukur dengan segala pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang bulan Ramadan.


Sumber: Harian Metro

SINAR Muzik Retro Terbaik