
Foto: BERNAMA
Advertisement
Seorang wanita kecil molek dengan suara lembut, namun kehebatannya dalam dunia akademik tidak dapat dinafikan. Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama Malaysia yang tersenarai dalam kelompok 2% saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut (2019–2025). Pengiktirafan ini diterbitkan oleh Stanford University dan Elsevier, menilai lebih sembilan juta penyelidik di seluruh dunia.
Beliau kini menduduki tangga 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 secara keseluruhan. Dengan H-Index 39, lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan, pencapaiannya dianggap luar biasa terutama dalam bidang sains sosial yang jarang mencatat rujukan tinggi.
Dilahirkan di Kluang, Johor dan dibesarkan di Jasin, Melaka, Norazah membesar dalam keluarga yang sangat menitikberatkan disiplin dan pendidikan. Ibu bapanya menjadi tunjang utama kejayaannya. Beliau merupakan graduan Multimedia University (MMU), di mana beliau menamatkan pengajian ijazah, sarjana dan PhD dalam bidang pemasaran dan e-dagang sebelum berusia 30 tahun.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam dunia akademik, beliau pernah berkhidmat di beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Malaysia Sabah sebelum menyertai Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2018. Kini, beliau memegang jawatan Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi & Hubungan Korporat di OYAGSB UUM.
Selain menerajui penyelidikan, Norazah juga aktif membimbing pelajar. Antara pencapaian membanggakan ialah membantu 105 pelajar sarjana muda menerbitkan artikel berindeks Scopus sesuatu yang jarang berlaku. Ramai daripada mereka kini menjadi ahli akademik dan usahawan berjaya.
Dalam bidang penyelidikan, Norazah banyak menumpukan kepada pemasaran digital, kelestarian dan tingkah laku pengguna, termasuk kajian tentang “Buy Now, Pay Later” dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Ilmu dan pangkat tidak bermakna jika kita tidak kembali menyumbang kepada masyarakat,” – Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki.
Pencapaian beliau menjadi bukti bahawa wanita Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan saintis antarabangsa, sekali gus mengangkat nama negara ke persada dunia.
Sumber: BERNAMA