Foto: Kompas
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, meluahkan rasa terharu apabila dimaklumkan bahawa rakyat Indonesia dinobatkan sebagai rakyat paling bahagia di dunia, mengatasi hampir 200 negara lain dalam satu kajian antarabangsa.
Advertisement
Pengiktirafan itu diperoleh menerusi kajian Global Flourishing Study (GFS), sebuah kajian berskala besar yang dijalankan secara kolaboratif oleh Harvard University, Baylor University serta institusi penyelidikan global, Gallup.
Perkara tersebut dikongsikan Prabowo ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sambutan Puncak Perayaan Krismas Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Tennis Indoor, Gelora Bung Karno (GBK), Senayan, Jakarta.
Menurut Prabowo, hasil kajian itu amat menyentuh perasaannya kerana Indonesia berada di kedudukan teratas sebagai negara yang rakyatnya paling ramai menyatakan mereka berasa bahagia apabila ditanya.
“Daripada hampir 200 negara, negara yang rakyatnya apabila ditanya menyatakan mereka berasa bahagia, negara yang berada di kedudukan nombor satu di dunia sekarang ialah Indonesia,” katanya.
Beliau mengakui pengiktirafan tersebut amat mengharukan, memandangkan realiti kehidupan sebahagian besar rakyat Indonesia yang masih hidup dalam keadaan sederhana dan belum mencapai tahap kesejahteraan sepenuhnya.
Namun begitu, Prabowo berkata di sebalik kekurangan, cabaran ekonomi dan tekanan hidup yang dihadapi, rakyat Indonesia tetap memilih untuk menyatakan bahawa mereka berasa bahagia apabila disoal oleh pihak penyelidik.
“Ini mengharukan bagi saya kerana saya faham bahawa sebahagian besar rakyat kita sebenarnya masih menjalani kehidupan yang sangat sederhana, yang harus kita akui keadaannya belum sejahtera.
“Tetapi apabila ditanya, mereka masih mengatakan bahawa mereka bahagia. Ini membingungkan bangsa-bangsa lain dan sangat menyentuh hati saya,” katanya lagi.
Susulan itu, Prabowo menegaskan komitmennya untuk terus bekerja keras bersama barisan kabinet bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat Indonesia secara menyeluruh.
Beliau turut menyatakan bahawa usaha tersebut dilakukan bersama pasukan pentadbirannya yang disifatkan sebagai putera-puteri terbaik bangsa Indonesia, yang diamanahkan untuk memikul tanggungjawab besar terhadap masa depan negara.
“Oleh itu, saya bersama para pembantu dan pegawai saya bekerja dengan sangat keras. Sudah satu tahun kita menerima amanah daripada bangsa Indonesia.
“Saya dibantu oleh para pembantu saya, yang saya akui sebagai putera-puteri terbaik bangsa Indonesia,” katanya.
Sumber: Kompas.com