Foto: TEMPO English
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan pengurusan sisa di Bali yang disifatkan mampu menjejaskan industri pelancongan serta imej Indonesia di mata dunia.
Advertisement
Ketika berucap dalam Mesyuarat Penyelarasan Nasional antara kerajaan pusat dan wilayah di Bogor, Prabowo menegaskan kebersihan merupakan elemen penting yang sering menjadi perhatian pelancong antarabangsa. Beliau secara terbuka menyuarakan rasa kecewa terhadap keadaan semasa beberapa lokasi pelancongan di Bali.
“Tiada pelancong datang untuk melihat sampah. Pantai di Bali kini kotor,” katanya.
Prabowo turut berkongsi pengalaman menerima teguran daripada pegawai kanan Korea Selatan yang baru sahaja melawat pulau peranginan tersebut.
“Mereka beritahu saya, ‘Your Excellency, saya baru pulang dari Bali. Bali sekarang sangat kotor.’ Saya anggap ini sebagai kritikan yang perlu kita tangani bersama,” ujarnya.
Beliau dalam masa sama memohon maaf kepada kepimpinan wilayah Bali yang hadir, namun menegaskan isu berkenaan adalah realiti yang memerlukan tindakan segera dan kerjasama semua pihak.
Mengulas perkara tersebut, Gabenor Bali, Wayan Koster memberi jaminan pihaknya akan mengambil langkah pantas bagi mengatasi masalah lambakan sampah. Menurutnya, pasukan khas akan diwujudkan bagi memantau kebersihan kawasan pantai secara berterusan.
“Saya akan menubuhkan pasukan petugas yang sentiasa bersedia di sepanjang kawasan pantai,” katanya.
Koster menjelaskan sebahagian besar sampah yang terdampar di pesisir pantai berpunca daripada limpahan sungai ketika hujan lebat, sekali gus menyebabkan proses pembersihan memerlukan tempoh masa lebih panjang.
Namun beliau menegaskan kerajaan wilayah mempunyai kemudahan mencukupi untuk menangani cabaran tersebut dan akan menggandakan usaha memulihkan kebersihan pulau itu.
Dalam perkembangan sama, Prabowo mengakui sering menerima aduan daripada tokoh antarabangsa berkaitan kemerosotan tahap kebersihan pantai Bali. Perkara itu dikongsikan di hadapan ribuan pemimpin wilayah ketika mesyuarat penyelarasan di Sentul, Bogor pada 2 Februari 2026.
Menurut beliau, isu lambakan sampah sering dibangkitkan dalam hampir setiap lawatan rasmi ke luar negara.
“Mereka kata, ‘Your Excellency, saya baru pulang dari Bali. Bali sekarang sangat kotor dan tidak lagi menarik,’” katanya.
Prabowo menyifatkan masalah sisa sebagai antara cabaran terbesar sektor pelancongan Indonesia dan turut memaparkan gambar pencemaran di Bali serta Ciputat sebagai bukti keadaan semasa.
Beliau menegaskan keadaan tidak terurus itu boleh menyebabkan pelancong enggan kembali ke Indonesia.
“Saya mohon maaf kepada gabenor dan bupati dari Bali, tetapi ini realiti keadaan Bali pada Disember 2025. Bagaimana pelancong mahu datang jika keadaannya begini?” katanya.
Prabowo turut mencadangkan agar pelajar sekolah dilibatkan dalam aktiviti gotong-royong membersihkan pantai bagi memupuk kesedaran menjaga alam sekitar.
“Ini pantai kita, ini halaman kita. Mari kita bersihkan bersama,” katanya.
Selain itu, beliau merancang menggerakkan seluruh jentera kerajaan bagi membanteras masalah sampah, khususnya di kawasan pelancongan.
Prabowo turut memberi amaran bahawa jika pemimpin wilayah gagal menggerakkan masyarakat, beliau tidak teragak-agak mengarahkan Tentera Nasional Indonesia dan Polis Republik Indonesia membantu melaksanakan operasi pembersihan secara berkala.
Beliau turut memperkenalkan inisiatif dikenali sebagai Gerakan Indonesia ASRI yang membawa maksud Selamat, Sihat, Bersih dan Indah.
Melalui program itu, semua kementerian, agensi, syarikat milik kerajaan serta pentadbiran wilayah diwajibkan melaksanakan aktiviti pembersihan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu kerja.
“Kita perlu isytiharkan perang terhadap sampah. Ini demi rakyat kita. Sampah adalah bencana dan penyakit, dan kita mesti bertindak,” tegasnya.
Sumber: TEMPO English