Foto: Agensi
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran bahawa populasi harimau Malaya kini berada pada tahap yang amat membimbangkan apabila dianggarkan kurang daripada 150 ekor masih hidup di habitat liar, sekali gus meletakkan spesies ikonik negara itu di ambang kepupusan.
Advertisement
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, menyifatkan situasi berkenaan bukan sekadar isu pemuliharaan hidupan liar, sebaliknya merupakan satu krisis nasional yang boleh membawa kesan besar terhadap keseimbangan ekologi dan warisan negara.
Menurut beliau, kehilangan harimau Malaya akan memberi impak serius kepada ekosistem hutan, termasuk sumber air, biodiversiti, ketahanan iklim serta kelestarian sumber semula jadi.
Beliau berkata ancaman berterusan seperti pemburuan haram, kekurangan sumber makanan, konflik antara manusia dan harimau, serta kematian akibat pelanggaran kenderaan semakin mempercepatkan kemerosotan populasi spesies tersebut.
“Antara 2023 hingga 2024 sahaja, enam kematian harimau dilaporkan akibat kemalangan jalan raya, malah tahun lalu bangkai seekor harimau ditemui disorok dalam but kereta dengan enam kesan tembakan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohideen turut menegaskan bahawa perdagangan antarabangsa kulit dan gigi harimau masih menjadi ancaman besar, terutamanya apabila ia sering dikaitkan dengan kepercayaan tradisional sebagai azimat walaupun tidak mempunyai asas saintifik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa CAP menggesa pelbagai langkah lebih tegas dan menyeluruh diambil bagi menyelamatkan harimau Malaya daripada terus pupus.
Antaranya termasuk memperkukuh penguatkuasaan undang-undang antipemburuan, meningkatkan peruntukan rondaan, membanteras rasuah dalam rangkaian jenayah hidupan liar, melindungi serta menghubungkan kawasan hutan, selain memperkasa penglibatan masyarakat Orang Asli dalam usaha pemuliharaan.
CAP menegaskan bahawa tanpa tindakan segera dan komitmen bersepadu semua pihak, harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan negara berisiko lenyap sepenuhnya dari hutan Malaysia.
Sumber: Bernama