
Foto: Tangkap layar Instagram
Kemelut yang menyelubungi rumah tangga pelakon, Yusuf Bahrin dan penyanyi, Zizi Kirana akhirnya terjawab apabila kedua-duanya disahkan berpisah dengan talak satu secara raj’ie di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Khamis.
Advertisement
Yusuf, atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 34, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie Mohd Saifullah Hamzah sekali gus menamatkan perkahwinan mereka.
Menurut peguam yang mewakili Zizi, Haiza menjelaskan bahawa prosiding itu berlangsung selepas mahkamah meluluskan permohonan perceraian yang dikemukakan Zizi, atau Nur Fazelah Mad Tahil di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
“Hari ini adalah satu permohonan perceraian di bawah Seksyen 47 yang mana pihak-pihak iaitu Zizi dan juga Yusuf, kedua-duanya bersetuju untuk permohonan perceraian ini.
“Dan pada hari ini di mahkamah ini, di hadapan Yang Arif Tuan Muhammad Syaifullah Hamza telah direkodkan satu lafaz cerai oleh Yusuf terhadap Zizi dengan talak satu secara raj’ie," jelasnya.
Beliau memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk berpisah dan lafaz cerai tersebut direkodkan secara rasmi di hadapan hakim.
“Jadi, kedua-duanya dapat menjalankan kes pada hari ini dengan baik dan itu sahajalah yang kita nak jelaskan pada hari ini ya,” kongsinya lagi.
Dalam perkembangan sama, Zizi memilih untuk berdiam diri dan tidak mengulas panjang berhubung perpisahan tersebut.
“Saya tiada apa-apa untuk dikatakan, semuanya sudah selesai.
“Terima kasih dan maaf kerana menunggu,” katanya ringkas.
Sebelum ini, hubungan pasangan itu menjadi bualan apabila timbul dakwaan mereka menghadapi masalah rumah tangga selepas tidak bersama ketika sambutan Aidilfitri.
Untuk rekod, Yusuf dan Zizi mendirikan rumah tangga pada September 2021. Sehingga kini, pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.
Sumber: Gempak