Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Wanita Serang Orang Awam Akibat Tertekan Isu Pembelajaran dan Kehidupan…” - Polis

“wanita serang orang awam akibat tertekan isu pembelajaran dan kehidupan…” - polisFoto: Facebook

Beberapa klip video tular di media sosial semalam memaparkan kejadian seorang wanita bertindak agresif menyerang orang awam menggunakan senjata tajam berhampiran sebuah pusat beli-belah di Kajang.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah berkaitan pembelajaran serta kehidupan seharian. Keadaan itu dikatakan mendorongnya bertindak di luar kawalan sehingga mencetuskan suasana panik dalam kalangan orang awam.

“Suspek dipercayai kecewa dengan layanan yang diterima semasa menuntut di universiti dan juga dengan kehidupannya di Malaysia sehingga menimbulkan rasa tertekan.

“Namun begitu, beliau tidak memperincikan bentuk layanan yang dimaksudkan. Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar tindakan agresif tersebut,” katanya.

Beliau turut mengesahkan wanita terbabit merupakan seorang penuntut di sebuah universiti awam dan bukan warganegara. Ketika kejadian, suspek dilaporkan memandu secara berbahaya sebelum keluar dari kenderaannya dan menyerang orang awam dengan sebilah pisau.

Tindakan itu bagaimanapun berjaya dikawal selepas orang ramai melaporkannya kepada pihak berkuasa. Polis yang tiba di lokasi segera menahan suspek untuk mengelakkan kejadian lebih buruk.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan serius dalam insiden berkenaan. Namun, kejadian itu menimbulkan keresahan masyarakat kerana ia berlaku di kawasan tumpuan orang ramai.

Menurut Naazron, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan jenayah ugutan dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Polis menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan ancaman keselamatan.

Sumber: Harian Metro

SINAR Muzik Retro Terbaik