Skip to main content

Advertisement

Hiburan

[VIDEO] Tragedi di Langit Kentucky: Pesawat UPS Terhempas, Api Marak Menjulang di Louisville

[video] tragedi di langit kentucky: pesawat ups terhempas, api marak menjulang di louisville

Foto: Reuters

Advertisement

Satu insiden udara yang mengejutkan dunia berlaku awal pagi ini di Louisville, Kentucky, apabila sebuah pesawat kargo milik UPS Airlines dilaporkan terhempas tidak lama selepas berlepas, mengakibatkan kebakaran besar dan gegaran di kawasan sekitar.

 

 

Asap hitam tebal menjulang tinggi ke udara, kelihatan dari beberapa kilometer jauhnya menandakan betapa dahsyatnya impak kemalangan tersebut.

Pesawat jenis McDonnell Douglas MD-11, yang dikendalikan oleh UPS Airlines, dilaporkan berlepas dari Louisville Muhammad Ali International Airport sekitar jam 5:15 petang waktu tempatan. Namun, hanya beberapa minit selepas berlepas, sayap kiri pesawat dikatakan terbakar sebelum ia menjunam dan terhempas di kawasan perindustrian berhampiran lapangan terbang.

Letupan besar kedengaran sejurus pesawat menghentam tanah, mencetuskan kebakaran dahsyat yang turut memusnahkan beberapa bangunan di sekitarnya.

Menurut laporan awal pihak berkuasa tempatan, sekurang-kurangnya tiga orang disahkan terkorban sementara 11 lagi dilaporkan cedera, termasuk beberapa individu dalam keadaan kritikal.

Namun, jumlah sebenar masih belum dapat dipastikan kerana misi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

[video] tragedi di langit kentucky: pesawat ups terhempas, api marak menjulang di louisville

“Kami masih menilai situasi di lapangan. Ini adalah tragedi besar dan fokus kami kini ialah mencari mangsa serta memastikan keselamatan penduduk sekitar,” kata Ketua Bomba Louisville.

Kemalangan ini turut mencetuskan kebakaran besar melibatkan lebih 5000 liter bahan api jet, menyebabkan beberapa siri letupan kecil dan kesukaran kepada pasukan bomba untuk mengawal api.

Pihak berkuasa mengeluarkan arahan “shelter-in-place” kepada penduduk dalam lingkungan 5 batu (8 kilometer) dari lokasi nahas bagi mengelak risiko pencemaran udara dan letupan susulan.

Louisville merupakan pusat logistik global utama bagi UPS dan kejadian ini dijangka memberi kesan besar terhadap operasi penghantaran antarabangsa syarikat tersebut.

Sementara itu, beberapa premis berhampiran lokasi kejadian turut dilaporkan rosak teruk, termasuk kilang dan gudang komersial. Penduduk yang berada berhampiran sempat berkongsi rakaman video api menjulang dan letupan kuat di media sosial menggambarkan suasana panik ketika kejadian.

Pihak National Transportation Safety Board (NTSB) dan Federal Aviation Administration (FAA) kini berada di lokasi untuk menyiasat punca nahas.

Tumpuan awal diberikan kepada kemungkinan kegagalan enjin atau kebocoran bahan api, namun siasatan terperinci akan mengambil masa beberapa minggu.

Sumber: REUTERS

SINAR Muzik Retro Terbaik