Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Penjaga Gol Ini ‘Berpura-Pura Cedera’ Demi Rakan Sepasukan Berbuka Puasa, Aksi Anthony Lopes Buat Ramai Sebak

penjaga gol ini ‘berpura-pura cedera’ demi rakan sepasukan berbuka puasa, aksi anthony lopes buat ramai sebak

Aksi dramatik seorang penjaga gol dalam saingan Ligue 1 Perancis kini jadi bualan hangat dunia bola sepak bukan kerana penyelamatan luar biasa, tetapi kerana momen cedera yang dikatakan untuk memberi ruang buat rakan sepasukan berbuka puasa Ramadan!

Advertisement

Dalam perlawanan Nantes menewaskan Le Havre 2-0 Ahad lalu, penjaga gol Anthony Lopes tiba-tiba rebah ke tanah tanpa sebarang cabaran ketika bola keluar berhampiran garisan tengah padang. Situasi itu mencetuskan tanda tanya, cedera betul atau ada ‘misi’ tersirat?

Mengikut peraturan, pemain padang yang cedera perlu keluar bagi membolehkan permainan diteruskan. Namun, peraturan itu tidak terpakai kepada penjaga gol. Jadi ketika Lopes menerima rawatan akibat kecederaan hamstring yang kelihatan ‘serius’, lima rakan sepasukannya dilihat bergegas ke tepi padang.

Di situlah momen yang mencuri perhatian berlaku, mereka segera mengambil makanan dan air untuk berbuka puasa selepas matahari terbenam.

Di Perancis, undang-undang sukan tidak membenarkan permainan dihentikan atas alasan keagamaan. Malah, negara itu terkenal dengan pendekatan sekular yang tegas, termasuk larangan pemakaian burqa di tempat awam. Jadi, tiada ‘water break Ramadan’ seperti di liga lain.

Namun Lopes, bekas penjaga gol antarabangsa Portugal, bangkit perlahan-lahan selepas dirawat seolah-olah memberi beberapa saat tambahan buat rakan-rakannya mengisi tenaga sebelum aksi bersambung.

Berbeza dengan Perancis, Liga Perdana Inggeris sejak 2021 membenarkan pemain Muslim berbuka puasa ketika perlawanan selepas matahari terbenam. Bundesliga turut mengikut langkah sama setahun kemudian.

Malah kelab-kelab besar Eropah juga menyesuaikan jadual latihan sepanjang Ramadan. Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pernah mengubah waktu latihan bagi membantu pemain Muslimnya.

Sadio Mane pernah berkongsi betapa mencabarnya berlatih dan beraksi ketika berpuasa.

penjaga gol ini ‘berpura-pura cedera’ demi rakan sepasukan berbuka puasa, aksi anthony lopes buat ramai sebak

“Ia bukan mudah… tapi kelab cuba buat segalanya lebih mudah untuk kami,” katanya dalam temu bual bersama beIN SPORTS.

Menurut Mane, perbincangan dengan kapten dan jurulatih membolehkan latihan diadakan pada waktu pagi supaya pemain boleh berehat sebelum waktu berbuka.

Kemenangan 2-0 itu cukup penting buat Nantes yang kini menghuni tangga ke-17 daripada 18 pasukan. Mereka terikat mata dengan Auxerre di tangga ke-16 tetapi berada di zon penyingkiran kerana perbezaan jaringan.

Dua pasukan terbawah bakal turun liga, menjadikan setiap mata kini sangat bernilai.

Ramadan tahun ini bermula pada 19 Februari dan akan berakhir pada 21 Mac, tertakluk kepada penglihatan anak bulan. Sepanjang bulan suci ini, umat Islam berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari sebagai salah satu daripada lima rukun Islam.

Rujuk Video: X (@Muslim)

SINAR Muzik Retro Terbaik