Baru-baru ini, kerajaan negeri di Kedah telah mengumumkan supaya peniaga pasar malam menghentikan semua aktiviti perniagaan pada waktu maghrib bermula Rabu ini.

Pelbagai reaksi yang diberikan warganet dan warga tempatan mengenai arahan terbaru tersebut.
Advertisement
Namun, arahan tersebut hanya tertakluk kepada mereka yang beragama Islam sahaja.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria, pihaknya memaklumkan penguatkuasaan arahan itu adalah selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang bersidang pada 21 Februari lalu.
“Arahan ini dikuatkuasakan kepada aktiviti perniagaan pasar malam di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) atau swasta di seluruh negeri.
“Walau bagaimanapun, ia dikecualikan kepada peniaga bukan Islam khususnya pasar malam yang dianjurkan di kawasan sekitar rumah ibadat bukan Islam atau waktu perayaan bukan Islam dan sebagainya,” katanya.
Pihaknya menekankan pengecualian sama turut diberikan kepada pasar malam yang terletak di kawasan didiami ramai penduduk bukan Islam.
“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam yang berniaga di pasar malam melibatkan ramai peniaga Islam, mereka digalakkan untuk menutup perniagaan. Kita juga tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan,” jelasnya.
Pihaknya berharap agar tiada yang salah faham dan memandang ringan mengenai arahan terbaru ini yang akan dikuatkuasakan kerajaan negeri Kedah.
Sumber: Kosmo Online