Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Penggunaan Car Seat Terlalu Lama Boleh Undang Risiko ‘Positional Asphyxia’ kepada Bayi

penggunaan car seat terlalu lama boleh undang risiko ‘positional asphyxia’ kepada bayiFoto: Carsome

Ibu bapa masa kini semakin prihatin terhadap keselamatan anak-anak, khususnya ketika berada di dalam kenderaan. Penggunaan car seat kini menjadi keutamaan setiap kali perjalanan dilakukan demi memastikan bayi dan anak kecil berada dalam keadaan selamat.

Advertisement

Namun, di sebalik kesedaran ini, wujud satu risiko serius yang masih kurang diketahui umum iaitu positional asphyxia, keadaan di mana bayi mengalami kesukaran bernafas kerana saluran pernafasan terhimpit akibat kedudukan badan yang tidak sesuai dalam tempoh yang lama.

Dalam satu perkongsian di TikTok oleh seorang ibu (@amiyryuu), beliau menjelaskan bahawa walaupun car seat sangat penting ketika berada dalam kenderaan, ia tidak sepatutnya digunakan secara berpanjangan, terutamanya apabila kenderaan sudah berhenti atau ketika berada di luar perjalanan.

Positional Asphyxia: Risiko Lemas Tanpa Disedari

Positional asphyxia berlaku apabila posisi duduk atau baring bayi menyebabkan saluran pernafasannya tersekat, lalu mengurangkan bekalan oksigen ke tubuh. Hal ini lebih merisaukan kerana bayi yang mengalami keadaan ini tidak menunjukkan reaksi ketara seperti menangis atau meronta, sebaliknya boleh lemas dalam diam.

Bayi berusia di bawah 12 bulan terutamanya sangat terdedah kerana otot leher mereka masih lemah dan belum mampu menampung kepala dalam tempoh yang lama. Kepala yang jatuh ke hadapan atau sisi boleh menyebabkan saluran udara menjadi sempit dan menyukarkan pernafasan.

Kajian Dedahkan Car Seat Antara Punca Kematian Bayi

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Pediatrics pada tahun 2016, sebanyak 47 kes kematian bayi dikaitkan dengan tempat duduk seperti car seat, buai dan stroller. Daripada jumlah ini, 31 kes berpunca daripada positional asphyxia, dan 90% kes tersebut berlaku kerana bayi dibiarkan tidur terlalu lama dalam car seat, walaupun tidak semestinya di dalam kenderaan.

Kajian lain pada tahun 2019 turut mendedahkan bahawa daripada 11,779 kes kematian bayi sewaktu tidur, sebanyak 348 kes atau 3% berlaku ketika bayi berada di tempat duduk, dan kebanyakannya membabitkan penggunaan car seat.

Had Masa Disarankan Berdasarkan Umur Bayi

Penggunaan car seat perlu mengambil kira had masa yang sesuai mengikut umur bayi:

  • 0 – 2 bulan: Tidak lebih 30 minit
  • 2 – 6 bulan: Maksimum 45 minit
  • 6 – 12 bulan: Sehingga 1 jam
  • 1 – 2 tahun: Sekitar 1 jam 30 minit
  • Lebih 2 tahun: Boleh mencapai 2 jam, bergantung kepada perkembangan fizikal anak

Tempoh masa ini bukan sahaja relevan ketika perjalanan, tetapi turut merangkumi situasi apabila car seat dibawa keluar dan digunakan di luar kenderaan, contohnya ketika berada di rumah saudara, pusat beli-belah atau sewaktu berkelah.

Hanya Gunakan Car Seat Dalam Kenderaan Sahaja

Ibu bapa turut disarankan agar mengelakkan meletakkan bayi dalam car seat ketika berada di rumah. Sebaik tiba di destinasi, bayi perlu segera dikeluarkan walaupun sedang tidur, dan digendong menggunakan baby carrier atau dipindahkan ke tempat tidur yang sesuai.

Sepanjang perjalanan pula, kedudukan kepala bayi harus sentiasa dipantau agar tidak jatuh ke hadapan. Begitu juga dengan penggunaan stroller, bayi tidak sepatutnya dibiarkan tidur terlalu lama di dalamnya kerana risiko positional asphyxia tetap wujud.

Kesimpulannya, walaupun car seat amat penting untuk keselamatan dalam perjalanan, penggunaannya perlulah betul dan berpada-pada. Sentiasa pantau kedudukan bayi dan elakkan membiarkan mereka terlalu lama di dalam car seat bagi memastikan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Sumber: TikTok

SINAR Muzik Retro Terbaik