
Foto: MER-C Indonesia
Advertisement
Pengarah Hospital Indonesia di Gaza, Dr. Marwan Al-Sultan, telah terkorban bersama ahli keluarganya dalam satu serangan udara oleh tentera Israel yang menyasarkan kediaman mereka di kawasan Tal al-Hawa, barat daya Bandar Gaza pada Rabu. Perkara ini disahkan oleh pertubuhan kemanusiaan Indonesia, Medical Emergency Rescue Committee (MER-C).
MER-C, sebuah NGO berpangkalan di Jakarta yang bertanggungjawab menguruskan Hospital Indonesia di Gaza, memaklumkan bahawa mereka menerima berita duka itu daripada pasukan tempatan mereka yang bertugas di wilayah tersebut.
"Dengan penuh rasa sedih dan pilu, kami mengumumkan pemergian Dr Marwan bersama keluarganya akibat serangan udara ke atas rumah mereka," kata salah seorang sukarelawan MER-C di Gaza.
Menurut kenyataan MER-C, sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terkorban dalam serangan tersebut, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan.
Dr. Marwan, seorang warga Palestin, dikenali sebagai tokoh perubatan yang sangat komited dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Gaza, terutamanya dalam waktu krisis dan konflik berpanjangan.
“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakan sekerja, tetapi juga kepada pesakit dan masyarakat Gaza yang amat menghargai jasanya. Semoga beliau dan keluarganya dikurniakan tempat terbaik di sisi Ilahi,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza turut mengecam insiden tersebut, menyifatkannya sebagai “jenayah kejam terhadap petugas kesihatan.”
“Serangan ke atas kakitangan perubatan dan kemanusiaan jelas menunjukkan niat jahat dan tindakan berdarah yang disengajakan untuk mensasarkan mereka secara langsung,” menurut kenyataan rasmi kementerian berkenaan.
Kerajaan Indonesia juga menyatakan rasa dukacita dan kecaman terhadap tindakan Israel itu. Dalam satu kenyataan di platform X (dahulu Twitter), Kementerian Luar Negeri Indonesia menzahirkan ucapan takziah dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku pada 2 Julai.

“Dr. Marwan dikenang atas khidmat bakti, dedikasi dan perjuangannya dalam misi kemanusiaan dan keamanan di Palestin,” menurut kenyataan tersebut. Indonesia turut menyatakan komitmennya untuk terus memantau keadaan semasa Hospital Indonesia di Gaza.
Dalam kenyataan sama, Indonesia mengulangi gesaannya untuk pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan menghentikan kekejaman yang terus dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Hospital Indonesia di Gaza, yang mula beroperasi pada tahun 2016 dengan pembiayaan daripada rakyat Indonesia, memainkan peranan penting dalam memberikan rawatan kritikal di tengah konflik yang berlarutan. Dr. Marwan telah menjadi tonggak utama dalam memastikan hospital itu terus berfungsi meskipun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman keselamatan.
Sumber: BERNAMA