
Foto: Astro Arena
Advertisement
Apa yang sepatutnya menjadi perlawanan bola sepak liga bawahan yang biasa di Brazil bertukar menjadi adegan penuh drama dan kejutan pada hujung minggu lalu. Penonton dan pemain tergamam apabila seorang pengadil ditahan secara langsung di atas padang ketika masih menggalas tugasnya mengawal perlawanan.
Pengadil berkenaan, Ederson Carlos da Silva, 38 tahun, dilihat melayangkan kad kuning kepada pemain kerana terjahan kasar. Namun beberapa saat kemudian, sepasukan pegawai polis bersenjata lengkap dengan jaket kalis peluru menyelinap masuk ke padang lalu menggari dan menahannya di hadapan ribuan mata yang tidak percaya apa yang berlaku.
Lebih mengejutkan, Da Silva didakwa sebagai salah seorang ketua logistik rangkaian pengedaran dadah di Sao Paulo. Menurut pihak berkuasa, namanya sudah lama berada dalam radar polis hasil daripada kegiatan media sosialnya yang aktif. Kehidupan dua dunianya juga sebagai pengadil di siang hari dan disyaki dalang jenayah pada waktu lain akhirnya terbongkar dalam detik yang tak disangka-sangka.
Siasatan terhadap sindiket ini bermula sejak November lalu selepas satu rampasan besar 450 kilogram kokain daripada sebuah trak. Maklumat daripada kes itu membawa polis menjejaki beberapa individu termasuk Da Silva, yang dipercayai bertanggungjawab merancang logistik pengedaran dadah bernilai jutaan dolar.
Menurut Ketua Polis Awam Sao Paulo di Guaruja, Glaucus Silva, dan Ketua Balai Siasatan Narkotik, Eduardo Camargo, Da Silva tidak pernah mendaftarkan pekerjaan rasminya sebagai pengadil, yang menjadi satu lagi elemen misteri dalam kisah hidupnya. Enam suspek lain masih diburu, menurut kenyataan terkini polis.
Rakaman penahanan luar biasa ini kini tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi daripada terkejut hingga marah. Insiden ini menjadi satu lagi bukti bagaimana jenayah terancang mampu menyusup masuk ke dalam bidang yang dianggap ‘bersih’ dan berprestij seperti sukan.
Sumber: Astro Awani