
Foto Hiasan
Advertisement
Buat pertama kalinya dalam sejarah, Iceland negara yang terkenal dengan glasier, gunung berapi dan cuaca ekstremnya kini dilaporkan mempunyai nyamuk! Penemuan ini mengejutkan ramai kerana selama ini Iceland dianggap sebagai salah satu tempat terakhir di Bumi yang bebas daripada serangga penghisap darah tersebut.
Menurut Institut Sains Alamiah Iceland, tiga ekor nyamuk spesies Culiseta annulata telah ditemui di kawasan Kjós, utara Reykjavík pada pertengahan Oktober 2025. Penemuan ini dilakukan oleh seorang peminat serangga bernama Björn Hjaltason, yang pada awalnya menyedari kehadiran seekor lalat aneh pada pita wain merah miliknya sejenis umpan yang digunakan untuk menarik serangga. Setelah ditangkap, spesimen tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa dan disahkan sebagai nyamuk.

Foto: Iceland Monitor
“Pada waktu senja 16 Oktober, saya ternampak seekor lalat ganjil pada pita wain merah. Saya segera mengesyaki sesuatu dan menangkapnya. Ia seekor betina,” kata Hjaltason kepada penyiar tempatan RUV. Dua lagi nyamuk berjaya ditangkap tidak lama selepas itu dua betina dan seekor jantan.
Institut Sains Alamiah menjelaskan bahawa spesies Culiseta annulata sememangnya biasa ditemui di Eropah dan negara Nordik lain. Ia mampu bertahan dalam cuaca sejuk, malah sering berlindung di bangsal atau ruang bawah tanah. Walaupun nyamuk jenis ini menggigit manusia, ia tidak diketahui membawa sebarang penyakit berbahaya, sekadar dianggap sebagai “gangguan yang menyakitkan”.
Namun begitu, penemuan ini menjadi isyarat jelas tentang kesan perubahan iklim global. Suhu di kawasan Artik kini meningkat lebih dua kali ganda berbanding purata dunia, menjadikan habitat-habitat yang sebelum ini terlalu sejuk kini lebih sesuai untuk spesies seperti nyamuk.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Iceland turut melaporkan kemunculan pelbagai serangga baharu, sejajar dengan peningkatan suhu dan pertumbuhan aktiviti perdagangan antarabangsa yang memudahkan serangga terbawa masuk melalui kapal atau pesawat.
Kini, dengan kemasukan Culiseta annulata, Antartika menjadi satu-satunya benua di dunia yang masih bebas nyamuk.
Walaupun buat masa ini penduduk Iceland tidak perlu risau tentang penyakit seperti malaria atau denggi, kemunculan nyamuk ini tetap menjadi peringatan penting bahawa dunia sedang berubah bahkan di tempat yang paling dingin sekalipun.
Dari gigitan kecil seekor nyamuk, tersingkap hakikat besar tentang pemanasan global yang semakin nyata.
Sumber: Iceland Monitor