Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Mangsa Kebakaran Saluran Paip Gas Dibenarkan Pulang Ke Rumah

mangsa kebakaran saluran paip gas dibenarkan pulang ke rumah

Foto: Bernama

Advertisement

Pemilik 115 rumah yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya kelmarin, dibenar memasuki kediaman masing-masing secara berfasa mulai hari ini.

Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk mulai jam 9.30 pagi ini bagi menjalani pemeriksaan termasuk pendawaian.

"Sekiranya pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disalurkan semula. Jika pemeriksaan inventori mengesahkan keadaan kediaman selamat, penduduk akan dibenar kembali ke rumah mereka," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas fasa pertama membabitkan 41 rumah selesai, fasa kedua dan ketiga akan dilaksanakan.

Tinjauan media mendapati penduduk mula hadir seawal 8 pagi seperti yang ditetapkan pihak berkuasa.

Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat, dalam sidang media di lokasi kejadian memaklumkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan pemeriksaan akhir pendawaian di kesemua 115 rumah hari ini.

Beliau berkata, JBPM melaksanakan semakan inventori di kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas itu dan mendapati semua kediaman berkemungkinan berada dalam keadaan baik serta dipercayai selamat untuk diduduki.

PETRONAS mengesahkan kebakaran pada 8.10 pagi Selasa lalu berlaku di saluran paip utama milik Petronas Gas Bhd (PGB).

Kebakaran saluran paip gas itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya dan menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

Sumber: Bernama

 

 

SINAR Muzik Retro Terbaik