Skip to main content

Advertisement

Hiburan

“Saya Anggap Mereka Seperti Anak Sendiri” — Pemandu Van Sekolah Raih Pujian Selepas Tular Bantu Pelajar OKU

“saya anggap mereka seperti anak sendiri” — pemandu van sekolah raih pujian selepas tular bantu pelajar okuFoto: Tangkap layar TikTok

Sikap penyayang dan keprihatinan seorang pemandu van sekolah, A.S. Balakrishnan, 65, meraih perhatian warganet apabila video memaparkan dirinya membantu seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) turun dari van tular di media sosial baru-baru ini.

Advertisement

Dalam video tersebut, Balakrishnan dilihat mendukung pelajar terbabit dengan penuh hati-hati sebelum meletakkannya di atas kerusi roda. Pelajar itu kemudiannya dibantu oleh guru bertugas untuk masuk ke kelas. Tindakan spontan dan penuh kasih sayang itu meraih pujian ramai yang tersentuh melihat keikhlasan seorang insan biasa yang menjalankan tanggungjawabnya melebihi jangkaan.

Bukan Kerana Kasihan, Tetapi Tanggungjawab

Ketika ditemui di kediamannya di Taman Sinar Mentari, Bedong, Kedah, Balakrishnan menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak menyangka tindakannya itu dirakam dan dimuat naik ke TikTok oleh seorang guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun.

“Saya hanya tahu tentang video itu selepas diberitahu anak. Apa yang dirakam itu sebenarnya sudah menjadi rutin harian saya. Bukan dibuat-buat,” katanya.

Menurutnya, pelajar dalam video tersebut merupakan pelajar Tingkatan Satu yang berkerusi roda kerana mengalami kesukaran berjalan. Setiap hari, beliau akan mengambil pelajar itu di rumah sekitar jam 7 pagi, mendukungnya masuk ke dalam van, dan membantu menurunkannya apabila tiba di sekolah.

“Perkara itu saya lakukan setiap hari, bukan kerana simpati, tetapi kerana rasa tanggungjawab. Saya anggap mereka seperti anak saya sendiri. Bila lihat wajah mereka ceria dan selamat sampai ke sekolah, hati saya rasa puas,” katanya penuh ikhlas.

 

@permata.sahara.pp

Setiap pagi, Uncle Balakrishnan , pemandu van yang berhati emas. Tanpa jemu, beliau akan dukung seorang murid PPKI dari tempat duduk van dan letakkan dengan penuh berhati-hati ke atas kerusi roda. Terima kasih uncle, atas keprihatinan, kesabaran dan layanan penuh hormat terhadap anak-anak syurga kami. Jasamu sangat dihargai ❤️🙏"

♬ bunyi asal - 𝒊𝒂𝒎_𝒏𝒐𝒏𝒂𝒎𝒆 - ®𝐒𝐲𝐚@𝐍𝐨𝐍𝐚𝐦𝐞™

 

Dua Dekad Berbakti, Lapan Pelajar OKU Diurus Seperti Anak Sendiri

Balakrishnan, yang kini sudah dua dekad berkhidmat sebagai pemandu van sekolah selepas meninggalkan pekerjaan lamanya sebagai penjual ikan, berkata pengalaman membawa pelajar sekolah memberi kepuasan yang tidak ternilai.

“Saya dah bawa ramai pelajar sepanjang 20 tahun ni. Sekarang saya ada lapan pelajar OKU, termasuk yang dalam video tu. Semuanya saya layan macam anak sendiri. Mereka pun dah biasa panggil saya ‘Uncle Bala’,” katanya yang juga bapa kepada empat anak dan datuk kepada dua cucu.

Hormati Semua Tanpa Mengira Latar Belakang

Apa yang paling menyentuh hati, Balakrishnan menegaskan bahawa bantuannya bukan bersandarkan kaum atau agama.

“Saya sedia tolong sesiapa sahaja. Tidak kira bangsa, kaum atau agama. Bila kita ikhlas bantu orang, Tuhan akan bantu kita kembali,” ujarnya ringkas namun penuh makna.

Kisah Balakrishnan menjadi satu peringatan bahawa kebaikan tidak mengenal pangkat atau publisiti  cukup dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab terhadap insan lain. Beliau adalah cerminan nilai kemanusiaan yang wajar dicontohi oleh masyarakat hari ini.

Sumber: Harian Metro, TikTok

SINAR Muzik Retro Terbaik