Foto: Astro AWANI
Seorang pelajar institusi pengajian tinggi tempatan berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen selepas dituduh mencemarkan kesucian al-Quran serta memuat naik kandungan berunsur jelik di media sosial pada bulan lalu.
Advertisement
Bagaimanapun, S. Vikneswaran, 21, menafikan pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dan memohon untuk dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mewajibkan dia melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga proses perbicaraan selesai.
Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharizat Ismail.
Tertuduh tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan sekitar jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis. Dia kemudian dibawa masuk ke mahkamah kira-kira 15 minit kemudian dalam keadaan tangan digari dan dikawal ketat anggota keselamatan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara sebelum ini, hasil penelitian terhadap kertas siasatan menunjukkan terdapat bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap lelaki tersebut.
Dia ditahan pada 25 Februari lalu selepas disyaki memuat naik gambar memijak al-Quran menerusi akaun Threads miliknya.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mencemarkan benda suci agama Islam dengan niat mengaibkan agama tersebut di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan pada 22 Februari 2026.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menghasilkan dan menyebarkan kandungan yang boleh menyinggung perasaan orang lain melalui aplikasi Threads menggunakan akaun @RYANDASELVA.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sebanyak 82 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan kes ini, manakala 43 saksi telah dipanggil membantu siasatan. Mahkamah menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Astro AWANI