Skip to main content

Advertisement

Hiburan

Pelajar Indonesia Puji Budaya Buka Puasa di Malaysia, Siap Dapat Hidangan Lengkap Percuma

pelajar indonesia puji budaya buka puasa di malaysia, siap dapat hidangan lengkap percumaFoto sekadar hiasan

Alam universiti sering digambarkan sebagai fasa yang mencabar, terutama dari segi pengurusan kewangan. Tidak semua pelajar bernasib baik menerima kiriman wang secara konsisten daripada keluarga, malah ada yang perlu berusaha sendiri dengan melakukan pekerjaan sambilan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Advertisement

Namun suasana berubah apabila tibanya Ramadan. Bulan yang penuh keberkatan ini bukan sahaja membawa makna dari sudut ibadah, malah turut meringankan beban segelintir pelajar dan golongan memerlukan apabila masjid serta surau menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma.

Pengalaman itu dikongsikan oleh seorang pelajar Indonesia yang dikenali sebagai @ihsanularliansyah menerusi TikTok.

Dia meluahkan rasa teruja apabila mengetahui amalan menyediakan makanan berbuka secara percuma di masjid-masjid Malaysia terbuka kepada semua.

“Berbuka puasa di Malaysia percuma. Kebanyakan masjid memang akan sediakan makanan untuk orang berbuka,” katanya dalam video tersebut.

Menurutnya, hidangan yang diberikan bukan sekadar kurma dan air, sebaliknya lengkap dengan nasi berserta lauk-pauk.

 

@ihsanularliansyah Tips berbuka gratis di Malaysia_ #malaysia #penang #study #student #indonesia ♬ suara asli - Ihsan.Ar_🇮🇩 Student in 🇲🇾

 

“Ini sangat menguntungkan, terutamanya bagi mahasiswa perantau seperti aku,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, dia mengakui pengalaman itu memberi perspektif baharu tentang erti Ramadan.

Baginya, ibadah puasa bukan hanya bersifat peribadi, tetapi turut menyatukan komuniti melalui amalan berkongsi rezeki.

“Sebenarnya puasa ini bukan hanya ibadah individu, tapi juga ibadah masyarakat,” jelasnya.

Rata-rata warga maya turut meninggalkan komen positif. Ada yang berkongsi bahawa selepas solat tarawih, kebiasaannya akan diadakan moreh iaitu jamuan ringan seperti teh atau kopi bersama kuih-muih dan bubur.

Seorang pengguna menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sesuatu yang ‘bermanfaat sangat buat mahasiswa’, manakala yang lain menambah bahawa ada juga masjid menyediakan makanan percuma selepas solat Jumaat.

Sumber: TikTok @ihsanularliansyah

SINAR Muzik Retro Terbaik