Seorang pemandu treler disahkan polis telah dipukul oleh orang awam semasa kejadian kemalangan maut babit kenderaan itu dengan sebuah motosikal di Kampung Telok Gong pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, mangsa cedera di pipi kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) sebagai pesakit luar.
Advertisement
"Pemandu telah buat laporan di Balai Polis Pandamaran, di sini petang semalam (Rabu) berhubung kes dia dipukul oleh individu yang belum dikenal pasti.
"Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti pelaku terbabit," katanya.
Kejadian dipercayai berpunca daripada motosikal ditunggangi wanita berusia 54 tahun dan dua kanak-kanak itu hilang kawalan ketika melalui permukaan berpasir.
"Semasa kejadian, treler dari arah Klang menghala ke Telok Gong, apabila sampai di persimpangan Jalan Bawal, sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang wanita bersama dua pelajar sekolah iaitu pelajar perempuan (sembilan tahun) dan pelajar lelaki (tujuh tahun) keluar dari simpang menghala ke arah sama dengan treler berkenaan," katanya.
Namun, penunggang motosikal tidak dapat mengawal motosikal kerana bahu jalan berpasir menyebabkan motosikal dan penunggang serta pembonceng terjatuh di atas jalan raya.
"Mangsa merupakan seorang pelajar perempuan digilis oleh roda tayar belakang treler, meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil menghubungi pihaknya.
"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Yunus Abd Rahim di talian 011-25300305 atau Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber: Sinar Harian