Foto: Instagram
Penyanyi terkenal, Norulhuda Abdul Wahab, atau lebih dikenali sebagai Nourul Deep, mendedahkan pengalaman peribadi yang menggegarkan hidupnya apabila disahkan menghidap kanser saluran faraj sekitar tahun 2018.
Advertisement
Berdepan dengan situasi sukar itu, beliau terpaksa membuat keputusan berat demi kesihatannya.
“Apabila doktor sahkan kanser, saya tiada pilihan lain selain menjalani pembedahan membuang rahim pada September 2020, dan setahun kemudian, ovari turut dibuang,” katanya lagi.
Nourul mengakui bahawa keputusan tersebut bukan mudah, kerana ia bermakna beliau tidak lagi berpeluang untuk hamil. Namun, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan dirinya, beliau akur menerima langkah drastik itu.
Nourul turut berkongsi bahawa tekanan hidup turut memberi kesan kepada kesihatannya. Pada 2018, dia mengalami kerugian besar selepas mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat yang menawarkan tajaan projek album.
“Stres dan tekanan emosi ketika itu memang sangat menjejaskan saya,” katanya lagi, mengakui bahawa faktor itu mungkin mempercepat perkembangan penyakit.
Walaupun melalui detik sukar, Nourul kini berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih. Beliau meluahkan rasa syukur kerana pembedahan berjalan lancar dan kesihatannya kembali terkawal.
“Alhamdulillah, sekarang sudah okey dan saya boleh kembali fokus pada kerjaya serta keluarga,” ujarnya.
Lebih mengagumkan, penyanyi Kerana Terluka itu dilihat bersemangat untuk kembali aktif dalam dunia seni. Nourul merancang untuk mengadakan konsert solo sebagai tanda beliau bangkit selepas melalui ujian besar ini.
Kisahnya bukan sahaja menyentuh hati ramai, tetapi turut memberi inspirasi kepada wanita lain agar peka terhadap kesihatan diri dan tidak menunda pemeriksaan perubatan awal.
Sumber: Kosmo