Foto: Instagram
Penyanyi tersohor Datuk Nora Ariffin menegaskan bahawa sebagai ibu, beliau tidak akan bertindak kasar atau menghukum anak sendiri meskipun mereka berdepan kontroversi. Sebaliknya, Nora memilih untuk mendekati dan menyokong anak-anaknya dengan penuh kasih sayang.
Advertisement
Menurut Nora, 51, tidak kira sebesar mana kesalahan dilakukan anak, mereka tetap darah daging yang perlu dipeluk, bukan dijauhkan. Baginya, kasih seorang ibu tidak wajar bersyarat dan setiap anak berhak diberi ruang untuk belajar daripada kesilapan.
“Kalau anak buat salah, adakah saya perlu tampar atau halau? Tidak. Sebagai ibu, saya akan peluk mereka. Mungkin kesilapan itu juga berpunca daripada kekurangan saya sebagai ibu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast Our Next Guest yang dikendalikan pempengaruh Singapura, Dyn Norahim.
Nora mengakui bahawa setiap ibu bapa tidak terlepas daripada kelemahan dan perlu berani bermuhasabah. Katanya, kadangkala niat mendidik dengan cara tegas boleh tanpa sedar meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada anak.
Beliau juga berkongsi bahawa apabila berdepan detik sukar bersama anak, beliau tidak segan untuk memohon maaf jika ada kekurangan dalam mendidik mereka.
“Saya akan peluk anak dan minta maaf. Mungkin saya juga ada tersilap langkah sebagai ibu,” ujarnya.
Nora menasihatkan ibu bapa agar tidak bersikap terburu-buru menghukum atau mengecam anak, sebaliknya menjadi tempat perlindungan buat mereka. Katanya, tekanan dan kata-kata kasar boleh membuatkan anak hilang arah serta berasa sendirian.
Kontroversi timbul baru-baru ini apabila anak bongsunya, penyanyi Dahlia, hadir ke Anugerah Industri Muzik ke-24 tanpa bertudung, yang kemudian mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Nora bagaimanapun meminta masyarakat agar tidak mudah menghakimi. Jelasnya, tindakan menghina atau memalukan hanya akan menambah beban kepada anak dan keluarga.
Sebagai seorang ibu, beliau memilih untuk berdiri bersama anak, memberi sokongan dan bimbingan supaya mereka terus kuat menghadapi cabaran, bukannya menjauhkan diri atau menghukum dengan kemarahan.
Sumber: YouTube