Foto: Instagram
Penyanyi, Noh Salleh meluahkan rasa syukur apabila pembedahan tulang belakang yang dijalaninya di Pusat Perubatan Pakar UKM pada 19 Januari lalu selesai tanpa sebarang komplikasi.
Advertisement
Menerusi perkongsian di Instagram, vokalis kumpulan Hujan itu berkongsi perkembangan kesihatannya selain memuat naik beberapa keping gambar sepanjang proses rawatan.
Menurut Noh, masalah pada bahagian tengkuk tulang belakang C6 dan C7 sebelum ini menyebabkan saraf terhimpit sehingga mengakibatkan kebas pada tangan serta kesakitan belakang berpanjangan yang menjejaskan aktiviti hariannya.
“Alhamdulillah, pembedahan semalam berjalan lancar. Masalah tulang belakang di bahagian tengkuk C6 dan C7 yang menyebabkan saraf terhimpit akhirnya dapat ditangani,” katanya.
Ujarnya, pembedahan berkenaan dikendalikan oleh pakar bedah berpengalaman, Prof. Datuk Dr. Mohd Hisam Muhamad Ariffin, namun dia mengakui berdepan risiko besar kerana lokasi pembedahan yang hampir dengan pita suara.
“Apa yang membuatkan saya sedikit risau adalah kedudukan pembedahan yang berada betul-betul di belakang pita suara, organ yang menjadi sumber rezeki saya sebagai penyanyi. Tapi Allah jaga, Alhamdulillah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noh turut memohon doa daripada rakan-rakan dan peminat agar proses pemulihannya dipermudahkan serta dapat kembali sihat seperti sediakala.
“Mohon doakan saya agar cepat sembuh dan kembali normal secepat mungkin. Jujurnya risau juga sebab ada persembahan hujung minggu ini,” katanya.
Selain itu, Noh turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan serta anggota kumpulan Hujan yang hadir memberikan sokongan moral sepanjang dia menerima rawatan di hospital.
Sumber: Instagram @mohammadnohbinsalleh