Foto: Instagram
Pelakon dan penerbit terkenal, Nicholas Saputra mendedahkan bahawa dia terlibat secara langsung dalam proses pemilihan pelakon utama bagi filem Rangga & Cinta: The Rebirth of Ada Apa Dengan Cinta?, yang menampilkan wajah baharu El Putra Sarira sebagai watak ikonik Rangga.
Advertisement
Menurut Nicholas, pasukan produksi tidak hanya mencari pelakon yang mempunyai rupa paras menyerupai Rangga versi asal, sebaliknya menumpukan kepada kualiti dan keaslian karakter yang dibawa.
“Sejak awal kami tidak mahu mencari seseorang yang secara fizikal mirip dengan Rangga. Kami ingin membuka diri terhadap segala kemungkinan,” katanya.
Nicholas turut menjelaskan bahawa aspek vokal menjadi antara faktor utama dalam proses pemilihan tersebut memandangkan filem itu turut menampilkan elemen muzik.
“Yang paling penting ialah kualiti suara mereka ketika menyanyi. Itu menjadi antara penilaian utama,” ujarnya.
Proses uji bakat dijalankan selama enam bulan dan menarik penyertaan lebih daripada 700 peserta dari pelbagai daerah, sama ada secara dalam talian mahupun bersemuka.
Para calon pelakon diminta menghantar rakaman nyanyian masing-masing sebelum melalui beberapa peringkat interaksi dan sesi pemilihan akhir bagi menentukan komposisi pelakon yang paling sesuai untuk menghidupkan semula kisah cinta ikonik tersebut.
Sumber: Suara.com