Foto: Threads
Minggu kedua sesi persekolahan darjah satu baru sahaja bermula, namun isu beg sekolah yang terlalu berat kembali menjadi topik perbualan hangat di kalangan ibu bapa.
Advertisement
Seorang wanita turut berkongsi kebimbangan apabila melihat anaknya terpaksa membawa banyak buku setiap hari.
Dalam video yang tular, wanita itu bertanya kepada ibu bapa lain sama ada mereka membenarkan anak menyimpan buku di lokar atau mengarahkan mereka membawa pulang semua bahan pembelajaran.
“Jadual sekolah sudah diberikan. Ada enam subjek sehari, jadi beg jadi berat. Anak mengadu berat,” jelasnya.
Dia turut menjelaskan bahawa setiap subjek memerlukan beberapa buku, termasuk buku teks, buku aktiviti dan dua buku tulis, yang perlu dibawa setiap hari.
“Sekolah ada menyediakan lokar. Jadi saya ingin tahu, ibu bapa semua suruh anak tinggalkan buku di lokar atau bawa balik?” soalnya.
Pertanyaan tersebut mencetuskan reaksi daripada netizen, khususnya ibu-ibu yang menegaskan bahawa generasi sekarang terlalu memanjakan anak.
Mereka menyifatkan isu beg berat ini sepatutnya boleh diuruskan dengan cara lebih praktikal tanpa perlu ibu bapa campur tangan terlalu jauh.
Seorang pengguna menyindir,
“Dulu kita pun pandai urus jadual dan buku. Sekarang macam semua benda perlu disediakan. Kadang risau bila tengok.”
Ada juga yang menjelaskan bahawa buku teks boleh diakses secara dalam talian, seperti melalui platform DELIMA MOE.
Jadi, mereka hanya membenarkan anak membawa pulang buku aktiviti dan buku tulis untuk memudahkan pemantauan pembelajaran.
“Jangan biasakan uruskan semua untuk anak. Biar anak belajar mengurus sendiri. Tidak perlu sampai asingkan dan label semua barang. Anak perlu belajar bertanggungjawab. Kalau semuanya ibu yang urus, jangan pelik bila dia besar nanti masih harap ibu buat semua,” tulis seorang warganet.
Perkongsian itu sekali lagi mengundang perdebatan tentang cara ibu bapa mendidik anak.
Adakah mereka terlalu memanjakan atau sebaliknya, hanya ingin memastikan anak tidak terbeban?
Sumber: Threads