Foto sekadar hiasan
Polis Negeri Sembilan meramalkan sebanyak 810,000 kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang cuti Aidilfitri, menjadikan jumlah tersebut meningkat 76% berbanding hari biasa yang mencatatkan 460,000 kenderaan.
Advertisement
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata pergerakan kenderaan dijangka mencapai puncaknya terutama ketika orang ramai pulang ke kampung atau menuju ke destinasi tertentu.
Sehubungan itu, polis telah melakukan persiapan rapi untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan dapat dijaga dengan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, terdapat 19 lokasi panas yang dijangka mengalami kesesakan. Antaranya di Seremban, Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau, dan Nilai.
Selain itu, tiga lokasi hitam yang sering berlaku kemalangan turut dikenal pasti, termasuk di Port Dickson, Jelebu, dan Jempol.
Sementara itu, Datuk Ahmad Dzaffir menegaskan bahawa anggota polis akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan sepanjang musim perayaan ini, dengan hanya 10% daripada 4,900 anggota yang dibenarkan bercuti.
Foto: Sinar Harian
Beliau juga mengingatkan bahawa cuti untuk anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah dibekukan untuk memastikan pengurusan trafik yang lebih baik.
Malah, sebanyak 635 permit penjualan bunga api telah diluluskan, manakala dua premis dikenakan tindakan kerana menjual tanpa permit.
Polis juga akan menjalankan rondaan bagi memastikan keselamatan di kawasan perumahan dan mencegah penggunaan mercun tanpa kebenaran.
Sumber: Sinar Harian