Foto sekadar hiasan
Tidur kini bukan sekadar rutin harian, malah dianggap sebagai antara nikmat terbesar dalam kehidupan moden. Laporan IKEA Sleep Report 2025 mendedahkan bagaimana masyarakat global melihat tidur sebagai keutamaan, malah ada yang sanggup menolak jemputan sosial demi mendapatkan rehat mencukupi.
Advertisement
Kajian Terbesar Mengenai Tabiat Tidur
Laporan yang diterbitkan oleh IKEA itu melibatkan 55,221 responden daripada 57 pasaran di seluruh dunia. Tinjauan berkenaan dijalankan secara dalam talian antara 13 Ogos hingga 20 September 2024 dan disifatkan sebagai antara kajian paling menyeluruh berkaitan tabiat serta persepsi terhadap tidur.
Secara global, 70 peratus responden menganggap tidur sebagai antara kegembiraan terbesar dalam hidup. Lebih separuh pula mengakui mereka lebih memilih untuk tidur berbanding menghadiri aktiviti sosial.
Asia Kuasai Lima Teratas
Daripada keseluruhan dapatan, beberapa negara Asia mendominasi senarai rakyat yang paling mengutamakan tidur. Indonesia mendahului carta apabila 73 peratus responden memilih tidur berbanding bersosial.
Thailand berada di tangga kedua dengan 71 peratus, diikuti Filipina pada kadar 68 peratus. Singapura pula mencatatkan 66 peratus, manakala Mesir melengkapkan lima teratas dengan 65 peratus responden meletakkan tidur sebagai pilihan utama.
Foto sekadar hiasan
Jurang Antara Keinginan dan Realiti
Walaupun majoriti menyukai tidur, laporan itu menunjukkan ramai masih tidak memperoleh tempoh rehat yang diinginkan. Secara purata, wujud perbezaan sekitar satu jam 20 minit antara jumlah tidur yang diharapkan dengan yang benar-benar dicapai setiap malam.
Golongan Muda dan Pekerja Syif Paling Hargai Tidur
Dalam kalangan belia berusia 18 hingga 24 tahun, 74 peratus melihat tidur sebagai satu bentuk kebahagiaan hidup. Ibu bapa turut berkongsi pandangan sama. Bagi pekerja syif, 75 peratus menyatakan mereka amat menghargai waktu tidur berikutan jadual kerja yang tidak menentu.
Fakta Menarik dari Pelbagai Negara
Jepun direkodkan mempunyai purata tidur paling singkat iaitu sekitar enam jam 10 minit setiap malam. Di China, 82 peratus responden menyatakan mereka jarang bangun dalam keadaan letih. Sebaliknya di Norway, 56 peratus berkemungkinan bangun dengan rasa keletihan.
Turki pula mencatatkan waktu tidur paling lewat secara purata, iaitu sekitar jam 12.45 tengah malam.
Kesimpulannya, walaupun gaya hidup berbeza-beza di setiap negara, satu perkara yang jelas ialah tidur kekal menjadi elemen penting dalam kesejahteraan hidup masyarakat dunia.
Sumber: IKEA