
Harapan bintang sensasi Johor Darul Ta'zim dan skuad kebangsaan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi untuk mencipta sejarah sebagai Pemain Terbaik Asia tidak kesampaian apabila kemenangan berpihak kepada bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari.
Advertisement
Bagaimanapun, semangat bola sepak Malaysia tetap bersinar apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima pengiktirafan antarabangsa selepas meraih tempat kedua (Perak) bagi kategori Anugerah Pembangunan Akar Umbi pada majlis gilang-gemilang Anugerah AFC 2025 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan King Fahad, Riyadh malam tadi.

Arif Aiman berada dalam kelompok tiga calon akhir bersama Akram Afif (Qatar) dan Salem Al-Dawsari selepas mempamerkan prestasi luar biasa di peringkat kelab dan antarabangsa sepanjang musim 2024–2025.
Meskipun tidak berjaya membawa pulang trofi, kehadirannya di pentas anugerah berprestij Asia ini menjadi bukti pengiktirafan terhadap kualiti pemain Malaysia di peringkat benua.
Kemenangan kali ini menandakan gelaran kedua buat Al-Dawsari selepas kali pertama meraihnya pada tahun 2022. Pemain berusia 34 tahun itu menjadi watak utama kejayaan Al Hilal SFC apabila muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Elit AFC serta membantu kelabnya mara ke separuh akhir dan tampil cemerlang di Piala Dunia Kelab FIFA.
Selain itu, beliau turut mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman liga domestik Arab Saudi dengan 15 gol musim ini.

“Ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada cita-cita lebih besar. Saya akan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujar Al-Dawsari.
Dalam kategori wanita, Hana Takahashi dari Urawa Red Diamonds Ladies mencuri tumpuan apabila mengetuai pasukan memenangi piala domestik dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Wanita AFC.
Lebih menarik, pemain pertahanan ini juga beraksi cemerlang di barisan serangan dengan mencetak 12 gol dalam semua kejohanan.
Meskipun Malaysia tidak membawa pulang anugerah individu, nama negara tetap harum apabila FAM meraih tempat kedua (Perak) dalam kategori Anugerah Pembangunan Akar Umbi, satu pengiktirafan besar terhadap komitmen negara membina bakat muda.
Anugerah tersebut menempatkan Malaysia sebaris dengan kuasa besar bola sepak Asia lain seperti Emiriah Arab Bersatu (Emas) dan Bangladesh (Gangsa).
Kehadiran Arif Aiman di pentas tertinggi Asia membuktikan pemain tempatan kini semakin diberi perhatian dan dihormati. Dalam masa yang sama, pengiktirafan terhadap FAM menjadi suntikan semangat besar buat pembangunan akar umbi bola sepak negara.
Dengan bakat muda yang semakin menyerlah, Malaysia kini selangkah lagi untuk berdiri sebaris dengan gergasi Asia bukan sekadar sebagai peserta, tetapi pesaing sebenar.
Sumber: AFC