Foto: Astro AWANI
Pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dihubungi selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Advertisement
Perkara itu dimaklumkan oleh sahabat baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah.
Menurut Anne, Nadia berlepas malam sebelumnya menggunakan perkhidmatan sebuah agensi pelancongan menerusi pakej umrah khas yang merangkumi perjalanan ke Tanah Suci serta beberapa destinasi luar negara termasuk London.
“Sebaik sampai di Jeddah, dia ada mesej suaminya untuk beritahu dia selamat. Lepas itu, dia sepatutnya sambung penerbangan ke London,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Anne berkata pihak agensi pelancongan memaklumkan Nadia tidak menaiki penerbangan berkenaan dan sejak itu telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.
“Pihak travel maklumkan dia tidak naik pesawat ke London. Sekarang handphone dia memang tak dapat dihubungi,” katanya.
Anne menjelaskan, suami Nadia yang berasa bimbang kemudian menghubunginya untuk mendapatkan bantuan. Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai keberadaan sebenar Nadia sama ada masih berada di Jeddah atau di lokasi lain.
“Persoalannya sekarang sama ada dia masih di Jeddah atau di mana, sebab memang sah dia tidak naik penerbangan ke London itu,” ujarnya.
Tambah Anne, Nadia melakukan perjalanan tersebut seorang diri. Semakan mendapati namanya direkodkan berada di Jeddah, namun tiada pendaftaran dibuat untuk penerbangan seterusnya.
Anne turut tidak menolak kemungkinan Nadia berdepan masalah sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.
“Sebelum hilang, dia ada mesej suaminya dan beritahu ‘I met stranger’, lepas itu terus senyap. Kedua-dua handphone dia hanya tunjuk mesej dihantar tapi dia tak respon,” katanya.
Anne berkata dia terkejut apabila mengetahui Nadia pergi seorang diri bersama agensi pelancongan dan bukannya bersama suami seperti yang disangka sebelum ini.
Pakej yang diambil Nadia merupakan pakej umrah ziarah yang melibatkan beberapa destinasi termasuk Jeddah, Makkah, Paris dan London, yang kini semakin popular.
Anne memaklumkan beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membantu mengesan lokasi sebenar Nadia.
Sumber: Gempak