Foto: Harian Metro
Pelakon, Nadia Aqilah Bajuri percaya bahawa dunia lakonan bukan sekadar berdiri di hadapan kamera dan menghafal skrip.
Advertisement
Baginya, setiap watak yang dipilih adalah tentang membawa mesej yang tepat, tentang keberanian untuk menyuarakan cerita yang sukar, bahkan kontroversial.
“Pada awalnya, kita tak banyak peluang untuk pilih watak. Tapi lama-kelamaan, bila tawaran datang, saya mula lebih selektif. Sebagai storyteller, kita kena pilih naskah dan mesej yang nak disampaikan.
“Ini penting bukan saja untuk kerjaya, tapi juga untuk mengasah bakat. Kita pun nak selesa dengan apa yang kita bawakan,” jelas Nadia ketika ditemui di Malam Gala Akad Yang Hilang, semalam.
Pendekatan selektif ini membawanya kembali ke layar dalam filem Akad Yang Hilang, memegang watak seorang wanita yang terperangkap antara realiti dan tabu.
Bagi Nadia sendiri, watak ini sangat asing dan mencabar
“Watak macam ini memang berada di thin line bagi seorang pelakon. Salah bawa, boleh kena label. Saya lama berehat daripada watak-watak berat atau jahat, tapi bila abang pengarah jelaskan watak saya turut menekankan isu ibu dan anak perempuan, saya terus setuju.
“Kita tak dedahkan aktiviti tertentu, cuma situasi. Saya rasa ini peluang untuk mewakili suara wanita yang tertindas. Walaupun cerita ini asing untuk saya, kita tak pernah tahu kehidupan mereka. Harap sedikit suara yang saya bawakan dapat mewakili mereka,” katanya.
Selepas berehat untuk membesarkan anak, Nadia kembali ke pentas dan layar dengan semangat baru.
“Anak saya dah besar, lebih dua tahun. Tahun lalu saya putuskan untuk kembali berlakon. Hujung tahun itu saya non-stop perform, dan alhamdulillah, orang masih menghargai kerja dan bakat saya.
“Tahun ini saya nak bekerja dengan orang baru, buat benda yang belum pernah saya buat, gunakan semua bakat saya. Kita kena evolve, nak sesuatu yang segar, bukan ikut jalan cerita lama. Tahun ini fokus pada diri sendiri,” jelasnya.

Dengan pemilihan watak yang bijak dan mesej yang jelas, Nadia membuktikan bahawa seorang pelakon bukan sekadar menyampaikan skrip, tetapi menyalurkan suara yang perlu didengar.
Sekadar info, drama ini mengisahkan Maryam, seorang wanita yang ingin berkahwin dengan kekasihnya, Ammar. Namun, rancangan itu terganggu apabila Mahkamah Syariah mendedahkan bahawa perkahwinan ibu bapanya tidak sah kerana fasid.
Kejadian itu tersebar ke media sosial, menimbulkan stigma dan persoalan tentang status Maryam sebagai anak yang sah. Dengan jalan cerita yang sarat konflik dan isu sosial relevan, Akad Yang Hilang bukan sekadar kisah cinta, ia adalah cermin masyarakat tentang keluarga, status sosial dan tekanan yang sering diabaikan.
Dibarisi Mira Filzah sebagai Maryam, Syarul Ezani sebagai Ammar, Idan Aedan sebagai Zaki, Sherie Merlis sebagai Suraya dan Aleza Shadan sebagai Ramlah.
Drama ini diarahkan oleh Bahri Uma Bajuri dan ditulis oleh Eenaz Mokhtar serta Zuli Ismail, dengan barisan penerbit Zuli Ismail, Reen Emran, Eenaz Mokhtar dan Syadhafiza Rosli.