Foto: Sinar Harian
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun mengalami kecederaan serius apabila tulang selangkanya patah selepas terjatuh akibat ditolak dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah rendah agama di sini.
Advertisement
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nina, 45 tahun, berkata insiden malang itu berlaku pada April lalu dan meninggalkan kesan mendalam terhadap anak ketiganya itu.
Menurut Nina, kejadian bermula sebaik selesai solat Asar di surau sekolah apabila beberapa murid menarik tikar sejadah hingga menyebabkan anaknya hilang imbangan dan terjatuh. Jatuhan tersebut begitu kuat sehingga mengakibatkan tulang selangka anaknya patah.
“Ini bukanlah kali pertama anak saya menjadi mangsa buli. Sebelum ini, baju sekolahnya pernah diconteng dengan dakwat pen dan dia sering dijadikan bahan ejekan rakan-rakan. Namun insiden kali ini terlalu berat kerana telah mendatangkan kecederaan serius,” katanya ketika ditemui.
Beliau menambah, laporan polis telah dibuat susulan kejadian tersebut dan pegawai penyiasat turut hadir ke sekolah untuk mengambil keterangan daripada guru besar, guru kelas, saksi serta beberapa ibu bapa murid lain.
Nina berkata, akibat insiden itu, anaknya kini berubah sikap secara ketara. Jika dahulu seorang yang aktif, ceria dan bersemangat ke sekolah, kini dia sering menangis, murung serta hilang keyakinan diri.
“Anak saya menjadi pendiam, mudah resah dan seolah-olah dihantui bayangan kejadian yang sama akan berulang. Perubahan ini benar-benar membimbangkan kami sekeluarga,” jelasnya dengan nada sebak.
Mengulas lanjut, Nina berkata beliau kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap guru kelas, pihak sekolah serta ibu bapa murid terbabit atas faktor kecuaian.
“Namun, atas dasar kemanusiaan, saya masih menunggu dan memberikan peluang kepada pihak sekolah untuk memaklumkan apakah tindakan yang akan diambil terhadap murid yang terlibat dalam kejadian buli ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian